Mahkamah Tawau yang menempatkan Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi mula dikawal anggota pasukan keselamatan bersenjata.

Anggota polis tambahan mula memasuki perkarangan mahkamah bermula 7.30 pagi menaiki dua buah lori polis dan beberapa buah kereta.

Kira-kira 40 anggota lengkap bersenjata berada di sekitar kawasan yang telah ditutup kepada orang awam bermula 5.30 petang semalam.

Kawasan luar mahkamah juga disita dan dikawal. Pekerja mahkamah sahaja dibenarkan masuk sementara wartawan hanya dibenarkan berada di luar kawasan.

Prosiding pendakwaan terhadap lapan lelaki Filipina akan dijalankan di Tawau pagi ini setelah kes terhadap mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di Tawau

Kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 66 tahun itu didakwa atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan pertuduhan kedua di bawah Seksyen 130KA kanun yang sama.- Bernama