Selasa, 19 Mac 2013

K’jaan sementara: Najib tak boleh guna dana k’jaan untuk kempen BN

Oleh Aisha Geoffrey

PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diingatkan supaya tidak menyalahguna jentera dan dana kerajaan untuk kempen BN menjelang pilihan raya.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini berikutan mandat Kerajaan Persekutuan yang diterajui BN berakhir 8 Mac lalu, genap lima tahun selepas Pilihan Raya Umum 2008 diadakan.

Ekoran itu, beliau menggesa Najib bersetuju dengan penubuhan kerajaan sementara.

“Najib perlu bersetuju untuk sebuah kerajaan sementara bermula hari ini sehingga mengundi,” kata Anwar.

Beliau berkata, jika sistem kerajaan sementara diaplikasi, Najib kehilangan status etika untuk meluluskan apa-apa projek.

Taian

"Kerajaan sementara membenarkan Najib untuk mentadbir, namun tidak membolehkan beliau menetapkan dasar dan perbelanjaan baru untuk meraih undi,” kata Anwar pada kenyataan dibacakan Naib Presiden, Tian Chua di ibu pejabat parti hari ini.

Kenyataan itu mengambil kira lima penambahbaikan berdasarkan “Laporan Program Persidangan Antarabangsa Tentang Pilihan Raya Umum ke-13 Malaysia” anjuran Pakatan Rakyat awal bulan ini.

Selain itu, Pakatan mahu tempoh berkempen yang diputuskan sekurang-kurangnya 11 hari oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini dipanjangkan kepada 21 hari.

“Ini akan memberi ruang kepada setiap parti terutama parti yang memiliki keupayaan kewangan terbatas untuk memastikan mesej kempen mereka sampai kepada rakyat,” kata Anwar.

SPR juga dituntut agar mengarahkan media kerajaan dan arus perdana supaya memberi ruang sama rata kepada semua parti bertanding.

Tambah Anwar, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Ali Hamsa perlu mengarahkan semua penjawat awam supaya mengamalkan sikap berkecuali dalam pilihan raya.

“Walaupun SPR menguruskan dan merancang PRU, penjawat awam yang bertugas dengan SPR merupakan penentu kepada proses pilihan raya adil dan bersih.

“Harus diingatkan gaji mereka dibayar menerusi hasil cukai dan kesetiaan mereka hanya kepada YDP Agong dan negara,” jelas Anwar.

“Saya juga menuntut agar SPR memberi jaminan bahawa mereka akan melaksanakan semua tugas secara profesional dan komited dalam menyempurnakan ketelusan,” katanya. – NS

Tiada ulasan: