Sabtu, 9 Mac 2013

Kes liwat II harus digugurkan, kata PKR kepada Putrajaya

TERKINI
Oleh Nomy Nozwir
 
KUALA LUMPUR— PKR hari ini mahu Putrajaya menggugurkan kes liwat II yang sedang dalam proses rayuan semula, dan mahu siasatan dijalankan ke atas Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

Berikutan pengakuan ayah Saiful Bukhari Azlan semalam, yang mengatakan tuduhan liwat kedua ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “konspirasi politik jahat” dimana anaknya dipergunakan.

“Kenyataan Azlan Lazim membuktikan pendirian Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) sentiasa konsisten bahawa tuduhan liwat II merupakan konspirasi politik jahat,” kata Naib Presiden PKR N Surendran dalam satu kenyataannya hari ini.

Surendran (gambar) juga mahu kerajaan dan Barisan Nasional (BN)memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Anwar, keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia.

Semalam, Azlan membuat kenyataan dalam satu sidang media, mendakwa pegawai khas dari Jabatan Perdana Menteri merancang satu konspirasi bagi memburukkan imej Anwar ke atas satu tuduhan meliwat, dan tuduhan kedua selepas beliau dipecat dalam kerajaan sejak 1998.

Azlan, yang tidak bersama anaknya semasa sidang media tersebut, bersama-sama ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, memohon maaf kepada Anwar dan keluarga dalam insiden ini, dan mengakui meletakkan keluarga mereka dalam keperitan.

Anaknya Saiful Bukhari Azlan walau bagaimanapun, menafikan sebarang konspirasi politik dan terkejut dengan kenyataan bapanya.

Pada 9 Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar dalam tuduhan meliwat Saiful di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara jam 3.10 petang sehingga 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Pembebasan Anwar tahun lalu telah disensasikan, dan menarik ramai orang yang berhimpun di hadapan Mahkamah Tinggi apabila hakim membacakan keputusan, disamping ratusan media antarabangsa dan pemerhati politik.

Anwar, yang pada awalnya menyaman Saiful kerana menuduh beliau meliwat, kemudian menarik balik saman tersebut, dan berkata reputasinya telah pulih selepas pembebasan beliau.

Jabatan Peguam Negara bagaimanapun merayu kes itu semula, dan kes tersebut akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 22 Jun.

Tiada ulasan: