Khamis, 7 Mac 2013

Kes Lahad Datu; Identiti Penceroboh/ Penyerang Masih Kabur

Editor BULETIN

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita16/lahad-datu-300x208.jpg1.   Peristiwa berdarah di Lahad Datu pada minggu ini adalah satu titik hitam dalam sejarah Malaysia. Kami ingin mengirimkan ucapan takziah atas kematian anggota polis yang tidak berdosa serta ucapan simpati kepada ahli keluarga mereka.

2.   Kami melihat pencerobohan di Lahad Datu sebagai usaha berani sesetengah pihak mempertikaikan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta ini. Apatah lagi ada pihak yang masih merasakan mereka punya hak keatas wilayah Malaysia iaitu pantai timur Sabah.

3.   Kami mengakui wujud fakta sejarah yang masih belum diperjelaskan kedudukannya dan ini menjadi hujah pihak-pihak tertentu mempertikaikan kedaulatan Malaysia terhadap Sabah. Apa yang berlaku hasil pertikaian dengan negara jiran iaitu kes Sipadan / Ligitan dan Pedra Branca harus menjadi iktibar agar Malaysia tidak kehilangan wilayah tersebut. Kita masih ingat bagaimana Malaysia kehilangan Pedra Branca kerana kita membenarkan Singapura mengawal kawasan tersebut. Maka kami menganggap Kerajaan Malaysia wajib menggalas tanggungjawab di dalam mempastikan “effective control” keatas wilayah-wilayah sekitar Lahad Datu berada dalam genggaman erat Malaysia. Malangnya apa yang berlaku di Lahad Datu dua hari lepas menidakkan perkara tersebut. 

4.   Kami juga memandang serius mengapa pihak berkuasa mengambil masa yang lama untuk mengambil tindakan keatas penyerang-penyerang yang dikaburkan identitinya. Apakah istimewanya mereka sehingga mereka diberikan masa untuk berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia. Kami bimbang kekaburan ini akan menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan rakyat bawahan yang mahukan berita yang benar-benar sahih. Bagaimana Menteri Dalam Negeri, Dato’ Hishamuddin Tun Hussein boleh membuat kenyataan yang tidak bertanggungajawab iaitu penceroboh dari Sulu itu bukan terroris dan bukan pula militan. Ada pula pihak yang menyatakan polis diperlukan bagi memujuk pihak penyerang meletakkan senjata. Pernyataan-pernyataan yang bertentangan ini menonjolkan kebarangkalian isu ini boleh dimanipulasi pihak-pihak tertentu.

5.   Kami amat sensitif dengan nasib keluarga anggota keselamatan yang gugur di medan juang. Maka kami berharap keadilan dapat ditegakkan bagi mereka. Di manakah Menteri Pertahanan ketika keadaan sedang meruncing. Tanpa mempertikaikan kewibawaan pihak polis, kami tetap merasa amat pelik mengapa kerajaan tidak menghantar tentera darat, laut dan udara untuk menghadapi situasi yang genting ini. Dalam situasi “open combat between armed groups” adalah sangat tidak wajar kerajaan mengerahkan polis yang tidak berdosa bagi menghadapi “situations of military threats”.

6.   Sekali lagi kami amat bersimpati dengan anggota polis yang terkorban dan tercedera serta keluarga mereka yang tercinta. Namun kami amat berharap agar semua pihak terlibat mesti bertanggungjawab dan adalah amat malang jika sesetengah pihak boleh cuci tangan sedangkan isteri menjadi balu dan anak-anak menjadi anak yatim.

7.   Kita mesti mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara lain. Apabila tentera-tentera mereka maut di medan perang, seluruh negara bersatu menghulurkan simpati dan bantuan. Namun rakyat akan mencari sebab mengapa kejadian yang tidak diingini itu berlaku.

8.   Pada tahun 2006, Sarjan Steven Roberts, seorang tentera Britain maut dalam operasi ketenteraan di Basra, Iraq. Suruhanjaya Khas ditubuhkan dan mendapati beliau masih boleh terselamat jika kerajaan memberikan “bullet-proof body armour” kepada semua anggota tentera yang berada di medan perang. Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri Britain telah dipersalahkan dan hampir sahaja mereka meletak jawatan. Namun apa yang lebih penting, hasil pemikiran kritis rakyat yang tidak menyerahkan segala-galanyanya kepada takdir, penambahbaikan dapat berlaku.

9.   Malangnya di Malaysia, tiada penjelasan konkrit dibuat oleh Perdana Menteri atau Menteri Pertahanan Malaysia. Kami menegaskan bahawa adalah sangat memilukan jika hanya pegawai bawahan yang tampil memberikan penjelasan yang kabur dan penuh was-was. Dan yang memilukan ada beberapa pihak meletakkan keselamatan para penyerang lebih daripada keselamatan anggota keselamatan. Betapa murahnya nyawa anggota keselamatan kita yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara. Dan rakyat pula terus dibodohkan dengan penjelasan yang tidak masuk akal seolah-olah tentera tidak berperanan sama sekali.

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Ketua Lajnah Antarabangsa,
DewanPemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: