Jumaat, 1 Mac 2013

Keluarga Zaidi terharu MB imam solat jenazah

Rizal Tahir,




TUMPAT: Keluarga allahyarham pendikir barat Zaidi Buluh Perindu atau nama sebenarnya, Zaidi Mohammad, 44, melahirkan rasa terharu di atas kesudian Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir untuk mengimamkan solat jenazah.

Isterinya, Zaharina Mohammad, 47, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dalam nada sebak sebaik sahaja melihat Tuan Guru mengimami solat jenazah di kediaman arwah di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu dekat sini.

“Terima kasih banyak-banyak, syukur kerana Tuan Guru sudi datang,” ujarnya dengan nada sebak.

Zaharina turut mengakui Zaidi jatuh pengsan ketika membuat persembahan pada satu program di Pengkalan Kubor kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

Jelasnya, arwah suaminya tiba-tiba jatuh dan pengsan serta disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Tumpat.

Tuan Guru mengimamkan solat jenazah tepat jam 5.15 petang. Beliau meminta menghubungi pihak keluarga allahyarham untuk menziarahi sebaik sahaja dimaklumkan berhubung kematiannya.

Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak.

Ketua Kumpulan Ar-Rasy, Ausri Hussin mengucapkan takziah di atas kematian allahyarham.

Beliau menyifatkan kematian Zaidi begitu sukar dicari ganti.

“Suaranya begitu lunak, hingga berkesan pada siapa yang mendengarnya,” ujarnya.

Sementara itu rakan yang sering berganding sewaktu persembahan dengan allahyarham, Mat Glamour atau nama sebenarnya Ahmad Awang Ahmad, 53, tidak menafikan beliau begitu terasa kehilangan Zaidi.

Menurutnya, selama 15 tahun beliau aktif bersama.

“Allahyarham bukan hanya sebagai rakan seperjuangan tetapi juga seorang sahabat yang baik, saya memang terasa kehilangannya,” ujarnya.

Turut menziarahi keluarga allahyarham, Timbalan Speaker Dun, Mohd Zaki Ibrahim, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Tumpat, Rosli Abdullah, Ketua Penerangan PAS Tumpat, Mohd Nawi Adam, bekas anggota Parlimen Tanah Merah, Mohd Saupi Daud, serta lain-lain pimpinan PAS.

Turut menziarahi rakan-rakan artis dikir barat yang lain, Man Khan, Fendi Kenali, Jen KL dan lain-lain termasuk anggota Ar Rasy.

Tiada ulasan: