Jumaat, 8 Mac 2013

Kaitkan lirik lagu ‘Tanya Sama Najib’ jadi bahan ketawa

Oleh: Mohd Arif Juhani Abdul Rahman

BUKIT KATIL: Tindakan media  Umno BN mengaitkan lirik lagu nyanyian Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan insiden di Lahad Datu, sekadar menjadi bahan ketawa dalam  ceramah Pakatan Rakyat.

Dalam program Jelajah Merdeka Rakyat (JMR) di Bukit Katil, Melaka, semalam, ketua umum KEADILAN itu mengulas tindakan memanipulasi lirik lagu ‘Tanya Sama Najib’ yang selalu dinyanyikan beliau dalam program Pakatan.

Anwar secara berjenaka merujuk laporan Buletin Utama, TV3  menyiarkan rakaman nyanyian berkenaan untuk mengaitkannya sebagai dalang pencerobohan tentera kesultanan Sulu di Lahad Datu.

“Umno BN punyalah teruk sampai lagu yang saya nyanyi pun mereka salah faham.

“Lirik lagu saya ialah ‘tanya sama Najib, apa sebab goyang, nanti jawab Najib, Sabah nak hilang’.

“Sebab lirik lagu ini, Umno BN riuh rendah kata ini bukti saya dalang kumpulan pengganas Sulu. Lemah sungguh pemikiran Umno BN sekarang,” katanya disambut ketawa hadirin.

Menurut Anwar, lagu berkenaan tidak bermaksud memberi Sabah kepada kumpulan penceroboh seperti digambar media Umno BN.

“Kita maksudkan rakyat Sabah nak tolak Umno BN dalam PRU, bukannya nak bagi Sabah kat kumpulan penceroboh.

“Sebab fitnah Umno BN ini, saya akan saman media mereka,” ujar Ahli Permatang Pauh sambil disambut sorakan orang ramai.

Hari ni, Anwar memfailkan saman terhadap akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dan stesen TV3 kerana mengaitkan beliau dengan pencerobohan tentera kesultanan Sulu di Sabah.

Tempoh 24 jam diberi kepada media berkenaan untuk menarik dakwaan dan memohon maaf, namun kedua-duanya gagal berbuat demikian.

Tiada ulasan: