Selasa, 19 Mac 2013

Bekas KP SPRM minta maaf, kes saman MB Selangor selesai

SITI AZIELAH WAHI

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah yang difailkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Datuk Seri Panglima Ahmad Said Hamdan berhubung satu kenyataan fitnah selesai selepas bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini, pagi tadi.

Permohonan maaf itu direkod di hadapan Hakim, Datuk Lau Bee Lan.

Peguam S N Nair, yang mewakili Abdul Khalid, memaklumkan mahkamah bahawa Ahmad Said akan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, dan kenyataan itu akan disiarkan di muka depan akhbar New Straits Times, dan The Star selama empat hari bermula esok.

Kenyataan itu berhubung penyelengaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu bagi Hari Raya Aidiladha untuk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang dibuat Ahmad Said pada 21 Februari 2009.

Sejurus kemudian, Ahmad Said tampil di hadapan mahkamah, dan membaca kenyataan permohonan maaf tersebut.

Dalam kenyataan permohonan maaf itu, Ahmad Said menyatakan bahawa kenyataan berkenaan dibuat atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa tersebut.

Beliau menyebut bahawa kenyataan itu dibuat bagi menjawab soalan wartawan berkaitan perkembangan hasil siasatan SPRM terhadap Abdul Khalid.

"Kenyataan tersebut juga telah dibuat sebelum kertas siasatan tersebut dirujuk dan diputuskan oleh Peguam Negara," katanya.

Dalam permohonan maaf itu juga, Ahmad Said menyatakan bahawa kenyataan itu dibuat tanpa sebarang niat jahat dan tanpa niat untuk menjatuhkan reputasi, imej, dan integriti Menteri Besar Selangor itu.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditemui media di luar mahkamah berkata, beliau bersetuju untuk menerima permohonan maaf secara terbuka kerana memahami Ahmad Said bertindak demikian atas kapasitinya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu.

Tiada ulasan: