Selasa, 19 Mac 2013

Syed Hamid: SPAD teliti perkhidmatan sewa motosikal


SINAR HARIAN
Syed Hamid Albar
Syed Hamid Albar
 
LANGKAWI - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan meneliti perkhidmatan sewa motosikal yang kini menjadi satu industri di kawasan pelancongan, terutama di sini.
 
Pengerusinya Tan Seri Syed Hamid Albar berkata setakat ini tiada permit atau lesen dikeluarkan pihak berkuasa untuk perkhidmatan itu, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa bertindak terhadap aduan yang dikemukakan.
 
"Kita kena lihat apa kedudukan dia (perkhidmatan sewa motosikal). Kita kena lihat secara serius. Di sini dah jadi satu masalah (kerana ada perniagaan menyewa motosikal)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Perkhidmatan sewa motosikal yang banyak ditawarkan di sini menjadi kegemaran pelancong asing kerana memudahkan mereka bergerak, berbanding pelancong tempatan yang memilih kereta sewa.
 
Mengulas isu lain, Syed Hamid berkata SPAD tidak dapat memeprtimbangkan permintaan sesetengah pihak agar usia bas yang ditetapkan pada 13 tahun sekarang dilanjutkan, demi menjaga kepentingan industri pelancongan di negara ini.

"Menurut undang-undang sekarang ini, had usia bas adalah 12 + 1 tahun (13 tahun) di seluruh Semenanjung. Ini kerana kita mahu bas pelancong cantik. Kalau lanjut lagi banyak masalah. Sebab itu kita tak minat untuk lanjutkan," katanya.
 
Beliau berkata SPAD dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) juga berhasrat untuk menyeragamkan warna teksi dan uniform pemandu teksi bagi mewujudkan keseragaman dalam perkhidmatan teksi di Langkawi.
 
"Pengendali dan pemandu teksi pun setuju. Mesyuarat untuk itu akan diadakan April nanti. Bagi pemandu teksi, aduan terbesar ialah kadar tambang yang masih dikaji. Merka mendakwa kadar tambang dah tak bertepatan dengan peredaran masa. Harga minyak, banyak kos dah naik," katanya.
 
Syed Hamid berkata SPAD memandang serius penguatkuasaan di Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara dan sepanjang tahun lalu sebanyak 44 operasi dijalankan.
 
"Operasi dijalankan secara berskala di seluruh pulau. Dari Oktober hingga Disember 2012 lima operasi. Tahun 2013 sehingga kini lapan operasi. Kita tangkap dua kereta 'sapu' di Jeti Kuah. Sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Langkawi dan mereka didenda.
 
"Pada 2011 kita ada tangkap 19 kes berkaitan pengangkutan awam. Kesalahan kereta sewa 10 kes, bas persiaran dua kes, bas sekolah satu kes, bas sewa dua kes, kereta sapu dua kes dan 'ulat' dua kes," katanya.
 
Terdahulu, Syed Hamid merasmikan pusat khidmat pelanggan SPAD di pekarangan pekan Rabu di sini, yang dilihat sebagai satu usaha SPAD dalam menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam darat di pulau peranginan ini.  - Bernama

Tiada ulasan: