Selasa, 6 November 2012

Rafizi Terus Bongkar Skandal RM40 Juta Umno Sabah




PUTRAJAYA: Walau berdepan dengan kemungkinan disaman,Pengarah Stretegi PKR, Rafizi Ramli bersedia untuk terus membongkar skandal RM40 juta yang didakwa Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Musa Aman dan Michael Chia.

Rafizi berkata, beliau akan terus mencari bukti bagi mengaitkan penglibatan ketiga-tiga individu ini walaupun laporan mengenainya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM).

“Saya sedar bahawa SPRM akan menuntut saya supaya berhenti membuat sebarang kenyataan sementara siasatan sedang dilakukan namun jika saya menemui beberapa bukti baru saya akan terus mendedahkannya.

“Saya bersedia berdepan sebarang kemungkinan walaupun laporan sudah dibuat kepada SPRM saya fikir jika kedua-dua pihak bekerjasama adalah lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum menyerahkan laporan mengenai ketiga-tiga individu terbabit di hadapan bangunan SPRM di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, kandungan laporan itu meminta SPRM supaya membuka fail siasatan di bawah Akta SPRM 2009, Bahagian IV (Kesalahan dan Penalti)Seksyen 16(a) iaitu perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun suapan itu diterima oleh orang lain dan manfaatnya dinikmati orang lain.

Terdahulu, Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap SPRM, Parlimen dan undang-undang membuat kenyataan bahawa tiada sebarang unsur rasuah bagi mengaitkan wang RM40 juta melibatkan jutawan balak Michael Chia kepada Umno Sabah.

Nazri dikaitkan memiliki hubungan rapat dengan Michael Chia kerana anaknya Nedim Nazri menggunakan sebuah kereta mewah jenis Hummer yang didakwa dimiliki oleh jutawan balak itu.

Menurut Rafizi, kenyataan Nazri menimbulkan tanda tanya kerana bersungguh-sungguh mempertahankan Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah dan membersihkan nama Michael Chia daripada sebarang dakwaan.

Selain itu, Rafizi akan mencari bukti-bukti berkaitan skandal itu dengan menemui beberapa pihak berkaitan di Hongkong termasuk mengadakan perjumpaan bersama Independent Commission Against Corruption Hong Kong (ICAC) pada minggu hadapan.

“Saya tidak mahu hanya membuat laporan kepada SPRM dan berharap kita dapat menemui beberapa fakta berkaitan apabila perbincangan lanjut diadakan kelak,” katanya lagi.

Pada 2008, Michael Chia pernah ditahan di Lapangan Antarabangsa Hongkong oleh ICAC kerana membawa wang tunai berjumlah RM40 juta yang didakwa hendak diberikan kepada Musa Aman.

Tiada ulasan: