Selasa, 6 November 2012

Kaum Ibu Hadir Ke Parlimen Bantah Lynas




KUALA LUMPUR : Sekumpulan ibu-ibu prihatin dari Kuantan berjanji meneruskan penentangan terhadap projek kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation kerana bimbang ancaman terhadap masa depan anak-anak mereka.

Kumpulan yang diketuai Rahiza Zulkifli itu hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, mereka amat perihatin dengan keputusan kerajaan meluluskan lesen sementara kepada Lynas bagi memulakan operasi memproses nadir bumi dari Mount Weld, Australia.

Memorandum tersebut diterima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz bagi pihak Najib yang sedang berada di luar negara.

“Sebagai ibu, kami sentiasa mahukan yang terbaik bagi keluarga kami. Untuk anak-anak dan juga untuk negara Malaysia tercinta.

“Kami juga mahukan pembangunan lestari yang tidak mengancam alam sekitar dan juga kehidupan seharian,” kata Rahiza.

Majlis penyerahan memorandum berkenaan dibuat di pejabat Nazri, tingkat satu bangunan Parlimen sambil ditemani Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Mengulas tuntutan dari kumpulan ibu-ibu Kuantan, Fuziah berkata, seorang ibu akan melakukan apa sahaja bagi menjamin masa depan dan keselamatan anak mereka.

“Ini adalah naluri seorang ibu. Bahawa akan ada bahaya yang mengancam keselamatan anak-anak mereka dan juga generasi akan datang (dengan operasi Lynas),” katanya.

Tiada ulasan: