Ahad, 25 November 2012

Jurucakap TALAM Pakar Ekonomi dan Perundangan




SUBANG JAYA Pemilihan empat jurucakap rasmi berkaitan penyelesaian hutang Talam Corporation Berhad (Talam) oleh Kerajaan Negeri adalah kerana mereka mempunyai kepakaran di dalam bidang ekonomi dan perundangan.

Mereka juga merupakan antara individu yang telah mendalami isu Talam secara terperinci bermula daripada 2010 semasa Kerajaan Negeri mula melaksanakan proses kutipan hutang tersebut.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Negeri Selangor, Teresa Kok berkata firma juru audit bebas antarabangsa KPMG juga dilantik bagi meneliti proses kutipan hutang tersebut bagi memastikan ia dilakukan secara profesional dan cekap.

Teresa berkata demikian bagi menyangkal dakwaan daripada Adun Umno-BN baru-baru di dalam sidang Negeri Selangor yang mempersoalkan perlantikan tersebut.

“Urusniaga ini dijalankan dengan amalan profesional dan dijalankan dengan menggunakan penasihat yang profesional, tetapi mereka (Umno-BN) hina kepakaran mereka.

“Bila Kerajaan Negeri beri taklimat secara rasmi mereka tak mahu datang dan lepas itu cakap bukan-bukan di belakang.

“Malah laporan juruaudit profesional, KPMG juga mereka hinakan,” ujar beliau apabila ditemui di program karnival kampung tradisi di Kampung Tengah A, Puchong di sini semalam.

Pada awal September 2012 Kerajaan Negeri telah melantik empat individu sebagai jurucakap rasmi bagi menerangkan isu Talam ke masyarakat umum.

Mereka adalah MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, MP Selayang, William Leong, MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin

Tony Pua sebelum melibatkan diri dalam politik merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Cyber Village Sdn Bhd, sebuah syarikat yang tersenarai di papan kedua bursa saham Singapura.

Beliau memegang ijazah dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Keble College, University Oxford.

Pada awal tahun ini, Tony telah menulis buku bertajuk “The Tiger That Lost Its Roar”, A tale on Malaysia’s political economy.” yang menceritakan kemuduran ekonomi Malaysia.

Manakala Dr Dzulkefly merupakan seorang pemimpin Pas yang sering menulis dan berdebat tentang isu ekonomi di dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu, Faekah merupakan seorang peguam sebelum beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik

Tiada ulasan: