Ahad, 25 November 2012

RM 250 Ribu Bina Jambatan Konkrit Di Bagan Teochew Pulau Ketam




PELABUHAN KLANG 24 NOV: Satu jambatan konkrit bernilai RM 250 ribu akan dibina dalam waktu terdekat bagi mengganti jambatan kayu di Bagan Teochew, Pulau Ketam yang musnah dilanggar bot pada 15 September 2012 lalu.

Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan projek pembinaan jambatan baru itu melalui peruntukan kewangan dalam Belanjawan Selangor 2012.

Katanya, Kerajaan Negeri sedar mengenai masalah yang dihadapi penduduk di kawasan itu memandangkan Bagan Teochew menjadi tumpuan pelancong kerana terdapat restoran makanan laut serta ‘chalet’.

“Pembinaan jambatan baru ini akan dimulakan dalam waktu terdekat dan kontraktor telah dipilih bagi menyiapkan jambatan ini yang dijangka akan siap pada bulan Februari 2013,” katanya.

Dr Halimah, yang juga Adun Selat Klang, ditemui ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Baru Bagan Teochew di Pulau Ketam hari ini.

Turut hadir Ketua Kampung Pulau Ketam, Cha Keng Lee, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK), Song Sung Hwan, TImbalan Pengarah Kejuruteraan MPK, Zamri Othman serta penduduk Bagan Teochew.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM 80,000 bagi membina jambatan sementara bagi menggantikan jambatan kayu berusia lebih 40 tahun yang musnah itu.


Tiada ulasan: