Selasa, 18 September 2012

Sang Saka Malaya: Polis terima dua laporan

HASNIZA HUSSAIN

SHAH ALAM - Polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung perbuatan pihak tertentu mengibarkan bendera merah putih atau 'Sang Saka Malaya', bagi menggantikan Jalur Gemilang, di beberapa lokasi di Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dua laporan itu dibuat di Shah Alam dan Banting pada 14 September lalu.

Beliau berkata, kedua-dua laporan itu disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan.

"Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan kita akan mengesan mana-mana saksi yang mengetahui berhubung kejadian untuk dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurut blog www.sel13.com, perbuatan tidak bertanggungjawab mengibarkan bendera selain Jalur Gemilang tersebut mula dilakukan pada malam sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka di sini 30 Ogos lalu dan kini dikesan merebak di Selangor.

Pengendali blog berkenaan turut mendakwa pengibaran bendera itu boleh dilihat di Damansara, Subang dan Shah Alam.

Tiada ulasan: