Isnin, 3 September 2012

PRU13: PAS timbang letak calon bukan Islam di Borneo

  Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

KUALA LUMPUR: PAS menimbang untuk meletakkan calon bukan Islam di Sabah dan Sarawak dengan harapan memenangi beberapa kerusi di dua negeri itu, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Beliau mendakwa parti itu gagal memenangi sebarang kerusi di Sabah dan Sarawak kerana tumpuan PAS sebelum ini lebih kepada kerja-kerja dakwah. 
 
"PAS sudah masuk di Sabah sejak tahun 80-an lagi bukannya baru. Cuma kita lebih tumpukan kepada kerja-kerja dakwah," katanya.
 
Menurutnya, walaupun gagal mendapat sebarang kemenangan pada pilihanraya negeri Sarawak yang lalu, parti itu tetap teruja dengan pencapaian calon-calonnya. 
 
"Yang mutakhir, di kawasan Beting Maro (Sarawak), kita hanya kalah 400 undi...satu jumlah yang kecil," katanya kepada AntaraPos.
 
PAS gagal merampas kerusi Beting Maro daripada penguasaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak.
 
Calon PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus meraih 2,758 undi berbanding BN yang memperoleh 3,014 undi untuk mengekalkan kerusi itu. PAS tewas di kesemua lima kerusi yang disaingi pada pilihanraya negeri itu. 
 
Hadi berkata pihaknya berharap mendapatkan penambahan kerusi untuk bertanding pada PRU l3 dan mungkin menampilkan calon dari kalangan bukan Islam melalui sayap penyokong parti itu.
 
"InsyaAllah, dalam pemberian kerusi ini, PAS akan dapat beberapa buah kerusi di Sabah dan Sarawak berdasarkan kepada kedudukan PAS yang sedia ada yang awal daripada kawan-kawan yang lain (parti-parti lain) di kawasan-kawasan pedalaman.
 
"Kita telah berusaha menubuhkan dewan himpunan penyokong PAS, dan memang sudah ada rakan yang bukan Islam yang sudah menyokong PAS," jelasnya.

Tiada ulasan: