Ahad, 23 September 2012

PKR Arau berjaya tembusi kubu kuat BN

 
Tambun Tulang ialah kubu kuat Barisan Nasional yang diterajui bekas Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Shahidan Kassim. 



PETALING JAYA: PKR Cabang Arau, Perlis buat pertama kalinya dapat menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Kampung Tengah, Tambun Tulang kerana berjaya menubuhkan rantingnya baru-baru ini.

Setiausaha PKR Cabang Arau, Hafessazly Hashim berkata, Tambun Tulang ialah kubu kuat BN yang diterajui bekas Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Shahidan Kassim.

“Semua ahli jawatankuasa ranting PKR itu terdiri daripada anggota masyarakat Thailand dan majoriti penduduk Kampung Tengah adalah terdiri dari masyarakat Thai,” kata beliau kepada FMT hari ini.

Katanya, sebelum ini sokongan daripada masyarakat Thai tidak menonjol tetapi kali ini mereka sudah berani ke depan dengan menubuhkan ranting PKR Kampung Tengah di Tambun Tulang.

Menurut Hafessazly, sebanyak 127 borang keahlian telah diterima oleh Timbalan Ketua Cabang Arau Tengku Nadzri Tengku Aldin bersama pimpinan Cabang Arau.

Turut hadir bagi memeriahkan majlis ialah pimpinan PKR Cabang Kangar, PKR Cabang Padang Besar dan Majli Pimpinan Negeri Perlis.

Beliau berkata, kehadiran masyarakat Thai dan sambutan majlis tersebut amat memberangsangkan dan PKR Cabang Arau yakin pada pilihan raya umum ke 13 (PRU13) Pakatan Rakyat mampu membuat kejutan di Dewan Undangan Negeri Tambung Tulang.

“Peningkatan keahlian PKR Cabang Arau juga semakin meningkat sejak kebelakangan ini,” terangnya.
Menurutnya lagi, program Jamuan Hari Raya Aidulfitri Pakatan Rakyat peringkat Parlimen Arau yang diadakan di Dataran Anwar Ibrahim Kampung Long Boh baru-baru ini mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.

“Masyarakat Thai yang menghadiri majlis tersebut amat teruja melihat perpaduan sesama kaum yang ditonjolkan Pakatan dan seterusnya menyampaikan hasrat untuk bersama-sama dengan Pakatan dengan menubuhkan ranting PKR di Kampung Tengah,” jelas beliau.

Tiada ulasan: