Khamis, 20 September 2012

Pilihan Raya Kampus UIA mulai ‘panas’

 
Sesi dialog anjuran Siswa Intelek yang menampilkan lima gerakan mahasiswa di universiti itu mula diganggu. 



PETALING JAYA: Bahang Pilihan Raya Kampus (PRK) mula terasa apabila sesi Dialog Politik Kampus di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) diganggu.

Dialog yang dianjurkan Siswa Intelek itu menampilkan lima gerakan mahasiswa di UIA iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), UIA, Pro-Mahasiswa, dan Sahabatul Mukmin turut dihadiri kira-kira 100 mahasiswa untuk memberi sokongan.

“Malangnya, pihak keselamatan hadir dan mengarahkan supaya program dialog itu dihentikan serta-merta atas alasan tidak mempunyai permit.

“Program terpaksa dihentikan kerana tidak mempunyai permit, sedangkan program yang sudah lulus permit pun dibatalkan juga oleh UIA,” kata wakil Pro-Mahasiswa Mohd Hafizuddin Muhamed Noor.

Selain itu, katanya lebih membimbangkan apabila sesi ‘public speaking’ yang menjadi syarat kepada calon yang bertanding dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dibuka dua kali.

Menganggapnya sebagai kes yang pertama dalam sejarah PRK UIA, sesi pertama ‘public speaking’ kali pertama diadakan pada Jumaat lalu, manakala sesi kedua pula diadakan semalam, iaitu sehari sebelum hari penamaan calon.

Katanya, berdasarkan kenyataan Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar UIA Dr Akmal Khuzairy dalam responnya di laman sosial Facebook, sesi kedua dibuka berdasarkan permintaan daripada wakil mahasiswa antarabangsa dan UIA Kuantan.

“Apa yang mencurigakan adalah sepanjang sesi kedua ini berlangsung, hanya seorang wakil pelajar antarabangsa UIA kampus Gombak yang hadir untuk berucap dan tiada seorang pun mahasiswa yang terlibat di UIA Kuantan,” katanya.

Campur tangan Umno

Sementara itu, spekulasi juga timbul dengan kewujudan notis pelantikan Datuk Prof Madya Dr Mizan Hitam sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIA, menggantikan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkuatkuasa serta merta selepas mendapat pengesahan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Dr Mizan sebelum ini adalah Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka.

Notis yang menggunakan kepala surat resmi Umno itu ditujukan kepada Rektor UIA Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin dan ditandatangani Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

“Pelantikan Datuk Prof Dr Mizan adalah bertujuan untuk menjayakan projek OPS 2020 bersempena dengan Pilihan Raya Kampus 2012 yang dijadualkan berlangsung pada 25 September 2012.

“Semoga makluman kepada pihak puan atas pelantikan ini dapat membawa kejayaan dan kegemilangan kepada Pro-Aspirasi untuk memartabatkan Bangsa dan Negara berlandaskan Perlembagaan Umno,” notis tersebut dipetik.

PRK yang akan berlangsung pada 25 September ini dianggarkan sengit apabila dijadikan sebagai kayu ukur untuk menguji pengaruh golongan pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Tiada ulasan: