Khamis, 27 September 2012

Pas Kelantan hormati kajian UM, BN tidak mahu selesa

ROSMIZA KASIM

Jangkaan BN menang di Kelantan bertambah baik
Kajian jangkaan BN menang pada PRU ke-13 di negeri Kelantan bertambah baik.
 
KOTA BHARU-Pas Kelantan menghormati kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang menunjukkan kuasa parti itu akan hilang pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangannya, Dr Mohd Fadhli Datuk Hassan bagaimanapun berkata, keputusan berkenaan akan berubah dari masa ke masa berdasarkan trend tertentu dalam polemik politik semasa

Menurutnya, hasil kajian itu tidak boleh dianggap secara jelasnya akan menentukan masa depan pemerintahan Pas sejak 22 tahun di Kelantan kerana jangka waktu penentuan masih panjang untuk menjawab segala-galanya.

"Kita hormati dan menilai kajian yang dijalankan tersebut dalam bentuk positif terhadap kelangsungan kuasa Pas di Kelantan. Malah kita juga tidak memandang ringan kelemahan mahupun kelebihan parti lawan.

"Kita melihat perolehan kajian itu tidak dapat membayangkan secara tepatnya yang Barisan Nasional (BN) akan berkuasa dengan mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, Lagipun sekarang ini trend rakyat mahu mengubah kuasa di peringkat pusat," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kajian Umcedel yang menggambarkan trend sokongan BN di Kelantan positif pada PRU13 nanti.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri, mahukan penjelasan lebih menyeluruh aspek kajian termasuk jumlah responden, variasi responden dan sudut persoalan dikemukakan kepada individu terlibat.

"Kita tidak perlekehkan kajian ini, kalau boleh Pas Kelantan mahu melihatnya dan bagi kita ini adalah salah satu kajian daripada beberapa pihak di negara ini terhadap perkembangan politik di negeri ini," katanya.

Dr Mohd Fadhli menegaskan, perkara tersebut tidak akan melemahkan Pas bahkan ia memberi keazaman yang lebih kuat kepada jentera parti bekerja keras memastikan BN tidak boleh merampas Kelantan di bawah kepimpinan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi Umno Negeri, Datuk Dr Awang Adek Hussin menegaskan BN tidak boleh berada dalam keadaan selesa biarpun kajian itu menunjukkan parti ini mendapat sokongan di Kelantan.

Katanya, BN tidak akan meletakkan harapan yang tinggi terhadap kajian Umcedel tersebut dan beliau menjelaskan pihaknya akan terus mendampingi rakyat untuk memberi perkhidmatan terbaik.

"Itu kajian, kadang kala betul, kadang kala tidak betul. Kita lihat Pas sudah lama memerintah Kelantan, masalah dan kesusahan rakyat semakin bertambah.

"Hanya BN menjadi harapan untuk masa depan rakyat Kelantan dan rakyat boleh memilih kami untuk berkhidmat kepada mereka," katanya.

Beliau juga yakin, rakyat Kelantan dapat merasai bahawa dengan memilih BN masalah dihadapi sejak sekian lama boleh diselesaikan.

Tiada ulasan: