Oleh ZULKIFLI YAHAYA
Berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, budaya politik kebencian akan terus disemai pihak pembangkang dengan tujuan mencetuskan perasaan benci terhadap kerajaan. “Makin dekat PRU13, lebih banyak budaya kebencian, kemarahan, pecah belah, menyerang peribadi dan fitnah yang boleh menjejaskan keselamatan negara dibawa mereka untuk menanam rasa benci rakyat terhadap kerajaan,” katanya.
Tujuan Naib Presiden UMNO itu mengeluarkan kenyataan tersebut ialah supaya seluruh rakyat Malaysia marah dan bencikan pembangkang dan Pakatan Rakyat. Jadi siapa yang mencetuskan budaya politik kebencian sebenarnya?
Dalam dunia politik hari ini, jika kita melakukan perkara yang sama kepada pihak lawan maka mempertikaikan pula perbuatan pihak lawan akan menyerlahkan sifat hipokrit diri sendiri. Usah menyebut bahawa Pakatan mencetuskan politik kebencian kalau semua media-media propaganda yang menjadi perkakas BN saban hari menyiarkan berita buruk, fitnah dan putarbelit terhadap Pakatan dan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan.
Usah juga menyebut bahawa Pakatan menyerang peribadi kalau TV3 dan Utusan Malaysia setiap hari menjadikan serangan terhadap peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sajian wajib. Sekurang-kurangnya sehari satu fitnah baru terhadap Anwar menjadikan jumlah setahun tidak kurang 365 fitnah yang berlainan dikenakan terhadap Ketua Pembangkang itu.
Usah menyebut perihal kononnya BN difitnah kalau di pihak mereka memfitnah Pakatan sudah menjadi ‘makanan ruji’ sehingga busuk bumi Malaysia dengan fitnah jahat BN. Kononnya jika Pakatan menang maka raja-raja Melayu dihapuskan, Islam bukan lagi agama rasmi, hak istimewa Melayu dimansuhkan, LGBT dihalalkan, DAP jadi Perdana Menteri, bendera Jalur Gemilang akan ditukar, hubungan diplomatik dengan Israel akan dijalin; bukankah itu antara rentetan fitnah yang diulang-ulang tanpa henti?
Usah menyebut bahawa pengawal Ketua Pembangkang ganas kerana mengacu pistol, walhal penyokong UMNO yang menyekat laluan bas, membaling cat dan melakukan provokasi dengan pelbagai kata-kata kesat, makian dan cacian.
Atas sifatnya sebagai Menteri Dalam Negeri beliau mengecam Pakatan kerana tindakan yang dibuat boleh menjejas ‘keselamatan negara’. Bagaimana pula dengan tindakan pihak keselamatan membiarkan samseng jalan penyokong BN menyekat laluan, memecahkan cermin kenderaan, menyerang ibu pejabat parti pihak lawan, menyerang masjid, membiarkan penyokong mereka membakar gambar pemimpin Pakatan, memijak dan kencing – tanpa sebarang tindakan oleh pihak keselamatan. Dalam waktu yang sama cepat pulak bertindak, sepantas kilat, jika sasaran serangan itu ialah pihak BN. Tidakkah tindakan yang dilihat sebagai berat sebelah oleh pihak polis ini boleh mencetuskan kemarahan rakyat yang mendorong kepada ancaman keselamatan dalam negara?
Inilah bahananya jika pemimpin politik yang naik memimpin pentadbiran kerajaan tidak dapat membezakan status antara kerajaan dan parti politik pemerintah, antara rakyat dan penyokong pembangkang. Maka wujudlah dwi piawaian peraturan atau undang-undang; segalanya haram untuk pembangkang dan segalanya halal untuk penyokong BN selaku parti yang memerintah.
Cabaran terdekat untuk Hishammuddin selaku Menteri Dalam Negeri itu ialah tindakan beberapa NGO dan Pemuda PAS di seluruh negara tampil membuat laporan polis mendesak tindakan juga diambil terhadap penghina gambar pemimpin Pakatan, seperti mana pantasnya mereka bertindak terhadap penghina gambar Perdana Menteri.
Inilah masanya untuk kita menilai kewibawaan pihak polis. Adakah mereka akan menyiarkan foto samseng-samseng jalanan itu dalam media massa untuk diburu oleh seluruh rakyat Malaysia seperti yang mereka lakukan tempohari? Adakah semua samseng jalanan UMNO yang terbabit itu akan diheret di hadapan media dengan sedu sedan akan memohon maaf atas kebiadapan mereka? Rakyat Malaysia menunggu untuk menyaksikan drama ini, walaupun harapan untuk menyaksikannya sangat tipis sekali.
Hishammuddin adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara wajar meletakkan pasukan polis di tempat yang neutral, tidak bertindak (atau berdiam diri) dan berpihak berasaskan pegangan politik parti yang memerintah. Jika menteri yang berkaitan dengan perdagangan, wanita atau urusan pertanian yang berat sebelah dalam menguruskan kementerian ia masih boleh dianggap ‘biasa’ walaupun tidak demokratik. Namun jika urusan berkaitan keselamatan ditadbir berasaskan piawaian politik kepartian, negara boleh huru hara.
Mahkamah baru saja memutuskan bahawa tindakan Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan bahawa Bersih 2.0 adalah haram sebagai tidak betul. Setelah kezaliman oleh kerajaan BN terhadap rakyat berlalu dalam suatu tempoh masa sebelum, semasa dan selepas Bersih 2.0, baru kini mahkamah memutuskan bahawa menteri itu tak betul, maka malang sungguh nasib rakyat yang menjadi mangsa kezaliman itu.
Kini pelbagai drama politik keganasan yang dicetuskan UMNO dan konco-konco mereka berlaku dalam negara. Kasihan nasib polis yang dilihat tidak berupaya menyerlahkan sikap neutral mereka di kalangan rakyat untuk bertindak adil kepada semua pihak. Ia berlaku gara-gara menteri yang menguruskan mereka lebih mementingkan keselamatan politik BN dari keselamatan negara.http://www.wartautara.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan