Ahad, 23 September 2012

Membelenggu politik mahasiswa

 
Kerajaan menyekat kebebasan pelajar dan membelenggu mereka dengan memperkenalkan pelbagai akta, polisi, strategi dan persekitaran. 



PETALING JAYA: Usaha menjinakkan peranan mahasiswa dilakukan pemerintah melalui budaya politik kotor seperti memfitnah agar mereka tidak mengancam kepentingan politik sedia ada.

Pengerusi ‘We Unite for Islam’ (Wufi), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Saiful Mat Amin berkata, kerajaan menyekat kebebasan pelajar dan membelenggu mereka dengan memperkenalkan pelbagai akta, polisi, strategi dan persekitaran.

“Ini dilakukan setelah kerajaan menyedari potensi dan keupayaan golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, revolusi dan demonstrasi jalanan yang kini sering diperlekehkan potensinya telah menyaksikan 13 orang pemimpin dunia regim zalim berjaya ditumbangkan. Ini dilakukan melalui perarakan skala besar jalan raya bukannya melalui pilihan raya.

Beliau menyebut beberapa contoh seperti Revolusi Xinchai di China pada tahun 1911, demonstrasi Gwangju di Korea pada 1980, bantahan Namfrel di Filipina (1986), demonstrasi regim Soeharto di Indonesia (1997), Revolusi Oren di Ukraine (2004) dan Arab Spring di Afrika Utara pada 2011.

Kesan dari pelbagai sekatan itu katanya, mahasiswa kini tidak berminat untuk mengikuti apatah lagi mengkaji perkembangan semasa dalam dan luar kampus lantaran kepelbagaian ragam, kerenah dan budaya kotor dalam pengurusan pentadbiran politik sedia ada.

“Realiti ini merupakan satu kerugian buat Malaysia kerana mahasiswa seharusnya diberi pendedahan untuk meneroka pengalaman dalam pengurusan pentadbiran politik bukannya menyertai parti politik.

“Halangan menyertai parti politik memang telah lama dizahirkan melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di dalam Seksyen 15(1) dan (2),” katanya.

Beliau menyoal, “bagaimana golongan yang dikatakan berpendidikan ini mampu memberikan hasil yang terbaik kepada negara sedangkan isu-isu semasa dan pengetahuan am berkaitan politik ini disekat melalui budaya memfitnah oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab?”

Menurut Saiful, antara ancaman pendidikan politik mahasiswa hari ini ialah budaya fitnah memfitnah dalam pilihan raya kampus (PRK).

Falsafah politik Machiavelli 

“Ia adalah mainan kotor politikus yang diwarisi dari idelogi barat falsafah politik Nichole Machiavelli yang terang dan jelas bertentangan dengan roh Islam dan adab-adabnya,” jelas beliau.

Antara falsafah Machiavelli katanya adalah: “Untuk sesebuah kerajaan mengekalkan kuasa, mereka haruslah mengabaikan pertimbangan moral sepenuhnya dan menaruh segala keyakinan terhadap kekuatan dan kepintaran menipu.”

Katanya, politikus juga dipasakkan dengan pengamalan “matlamat menghalalkan cara”. Mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk memfitnah sebagai strategi menyerang pihak lawan.

“Justeru, kami dengan ini menegaskan bahawa bukan menjadi budaya kerja kami menggunakan tipu daya dan helah terhadap unsur–unsur PRK samada memburuk-burukkan peribadi calon, mencetuskan suasana dan budaya politik kotor dan seumpamanya,” kata Saiful.

Tiada ulasan: