Jumaat, 28 September 2012

Insentif diutama pada syarikat besar, bukan rakyat terbanyak- Azmin

Oleh: Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Insentif pengecualian cukai kepada pemaju projek gergasi dari dalam dan luar negara bukti kerajaan tidak meletakkan keutamaan Belanjawan 2013 kepada rakyat terbanyak, kata Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali.

Sebagai contoh katanya, pengecualian cukai terhadap pembangunan Tun Razak Exchange, yang dahulunya dikenali sebagai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD).

“Tun Razak Exchange (TRX) mendapat pengecualian cukai selama 10 tahun. Dalam konteks jangka panjang, ia akan beri kesan negatif kepada ekonomi negara,” tegas Azmin.

Dalam pada itu katanya, pemberian langsung (one-off), antaranya skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya akan meningkatkan kadar hutang dalam negara.

“Kita tidak menolak sebarang insentif yang baik, tetapi adakah isu tentang kebocoran, pembaziran dan pengurusan bertanggungjawab dibangkitkan? Dalam keadaan belanjawan defisit seperti sekarang ini, kadar hutang dalam negara akan ‘membengkak’.

“Kerajaan tidak merincikan situasi ekonomi antarabangsa sebelum menjelaskan keadaan ekonomi domestik. Di sini peranan Unit Perancagnan Ekonomi Negeri (UPEN).

“Dalam keadaan kadar hutang negara berjumlah RM400 juta, walaupun belum sampai ke paras 55% KDNK, apa jaminan kerajaan tidak berbelanja sehingga mencecah ke paras itu?,” tegasnya.

Dalam pada itu, Azmin sekali lagi membangkitkan isu kegagalan kerajaan mengeluarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

“Mengapa disorokkan selama dua minggu? Sepatutnya ia dibentang hari ini supaya semua wakil rakyat boleh meneliti kewangan fiskal pada tahun lepas untuk memberi teguran dan pandangan,” ujarnya.

Tiada ulasan: