Ahad, 30 September 2012

Belanjawan 2013: Tiada perubahan struktur penting

Roketkini.com



KUALA LUMPUR : Belanjawan 2013 yang dibentang semalam adalah belanjawan yang boleh meletakkan negara dalam krisis kewangan terburuk sekali lagi apabila ia tertumpu kepada pembangunan projek-projek mega tanpa dinyatakan usaha serius untuk menanangani hutang negara sejak 1999.

Ia dibuktikan dengan peningkatan hutang secara mendadak dari RM456 bilion pada 2011 kepada RM502 bilion sehingga 2012 biarpun kerajaan kelihatan gembira mengumumkan peningkatan peruntukan Belanjawan 2013 sebanyak RM251.6 bilion berbanding RM232.8 bilion tahun lalu.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua,  belanjawan kerajaan ini menunjukkan tiada kehendak politik dari pihak Kerajaan Persekutuan untuk melakukan perubahan struktur yang diperlukan dalam menguruskan belanjawan.

“Apa yang menakutkan adalah liabiliti luar jangka kerajaan dianggarkan meningkat secara mendadak pada 2013 disebabkan perbelanjaan sebanyak RM53 bilion untuk projek MRT dan juga projek-projek mega yang lain.

“Perbelanjaan dengan hutang ini langsung tiada di dalam kunci kira-kira atau tidak dikira sebagai hutang rasmi Kerajaan Persekutuan walaupun dibiayai kerajaan.

Jelas Pua, “Di Eropah, Sepanyol yang sedang berdepan dengan masalah kewangan yang serius  dan memerlukan jaminan keluar berbilion-bilion mempunyai nisbah hutang ‘rasmi’ kepada KDNK sebanyak 68.5 peratus. Tetapi disebabkan pelbagai liabiliti luar jangka dan jaminan keluar bank, nisbah ‘sebenar’ yang jauh lebih tinggi telah menyebabkan ekonominya hampir lumpuh dalam krisis yang masih berterusan.”

Hasil kutipan kerajaan lembab

Mengulas kepada peningkatan hasil kutipan kerajaan, Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata bahawa belanjawan kali ini jelas mencerminkan kelembapan ekonomi negara berdasarkan peningkatan rendah kutipan hasil kerajaan sebanyak 0.7 peratus dan merupakan rekod kutipan hasil paling perlahan sejak tahun 1999.

“Penurunan ketara dalam pertumbuhan hasil kerajaan akan memberi kesan kepada kemampuan kerajaan untuk memberikan impak kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui maksud fiskal.”

“Kita juga belum mampu untuk mengurangkan defisit belanjawan di bawah 4 peratus selama beberapa tahun dan telah gagal mengawal perbelanjaan melalui pengurangan pembaziran, penyalahgunaan dan korupsi.” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Disebabkan hal demikian, kerajaan terpaksa membentangkan belanjawan yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

“Perbelanjaan operasi dikurangkan kepada 0.3% daripada RM202.6 bilion hingga RM201.9 bilion sementara perbelanjaan pembangunan turut dikurangkan daripada RM46.9 bilion hingga RM46.7 bilion atau 0.4%.

Menyifatkan Belanjawan 2013 tidak ubah seperti pengulangan belanjawan tahun-tahun sebelumnya, Pua berkata bahawa kerajaan menggunakan formula yang sama tanpa mempertimbangkan perubahan keadaan dan meningkatnya cabaran ekonomi yang kita hadapi hari ini.-Roketkini.com

Tiada ulasan: