Sabtu, 22 September 2012

30 ajaran sesat dikesan guna nama badan lain

asyraf muhammad

30 ajaran sesat
Abdu Majid (kiri) menerima cenderahati daripada AJK Kampung Seri Kedah ketika Program Rakyat Bersama Mufti, semalam.
 
SEKINCHAN - Sebanyak 30 ajaran berselindung di sebalik pelbagai persatuan telah difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS).

Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar berkata, beberapa pendekatan telah diambil untuk memastikan penularan ajaran sesat di negeri ini tidak terus berleluasa dan dapat dibanteras.

Katanya, masyarakat Islam perlu berhati-hati kerana kebanyakan ajaran sesat terbabit berselindung di sebalik nama persatuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Sebagai contoh, kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Al Hidayah Madrasah Al Taqwa di Batu 14 Hulu Langat pada tahun telah membongkar kes ajaran sesat Juruzon yang berselindung di sebalik nama anak yatim bagi penyebaran ajaran mereka.

“Selepas siasatan dijalankan pihak berkuasa dan jabatan mufti, kami dapati kumpulan berkenaan menjalankan kegiatan tersebut dengan menggunakan madrasah berkenaan sebagai tempat menyebarkan ajaran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Rakyat Bersama Mufti di Masjid Kampung Seri Kedah, semalam.

Menurutnya, mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri yang bersidang pada 20 September tahun lalu memutuskan bahawa ajaran yang dibawa oleh pengasas ajaran itu adalah menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.

“Kebanyakan individu terlibat dalam ajaran sesat ini hadir (bertemu JMNS) dan menyatakan penyesalan mereka di samping berharap saudara-mara kandung yang menyertai ajaran sesat supaya insaf dan bertaubat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Majid berkata, Program Rakyat Bersama Mufti adalah sebahagian pendekatan digunakan jabatan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai ajaran yang telah difatwakan sesat.

“Perjalanan program ini adalah bagi memberi penekanan terhadap ajaran sesat kepada masyarakat agar mereka faham dan menggelakkan perkara ini,” katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu sama-sama membantu dengan membuat laporan kepada jabatan agama jika terdapat ajaran mencurigakan.

“Jika terdapat ajaran yang mencurigakan, penduduk diharap segera membuat laporan agar penyiasatan segera dapat dilakukan,” katanya .

Pada majlis sama, turut diadakan sesi dialog bersama jabatan mufti di mana penduduk boleh bertanyakan sebarang kesangsian mengenai Islam bagi mendapatkan jawapan yang benar.

Tiada ulasan: