Rabu, 4 Julai 2012

Umno perlu laksana hudud seluruh negara

NOR ATIEYAH YUSOFF

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman
 
 
SHAH ALAM – Umno diminta membincangkan cadangan melaksanakan hudud yang dikemukakan seorang Adun Johor untuk pelaksanaan di seluruh negara, bukan Johor sahaja.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, sebagai parti yang mendominasi pemerintahan negara, Umno mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian termasuk memahamkan orang bukan Islam mengenai kesempurnaan hudud.

"Ini penting. Kita tidak mahu orang bukan Islam terus salah faham," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, isu hudud tidak boleh dibincangkan dan dilaksanakan di negeri tertentu sahaja.

"Ia akan buat keadaan jadi lebih rumit jika hanya dilaksanakan di negeri tertentu tetapi tidak di negeri lain," katanya.

Antara kerumitan itu, kata Abdul Rahman termasuk isu perbezaan dalam undang-undang Islam yang boleh menimbulkan lebih banyak salah faham terutama bagi bukan Islam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Adun Kemelah, Johor, Datuk Ayub Rahmat pada persidangan Dun negeri itu 20 Jun lalu mencadangkan supaya Johor jadi negeri pertama melaksanakan undang- undang hudud yang sebenar.

Ini berikutan undang-undang hudud yang digubal oleh Pas dan diluluskan oleh dua Dun Kelantan dan Terengganu, masing-masing pada 1993 dan 2003 dianggap tidak menepati hukum Islam yang sebenar.

Abdul Rahman bagaimanapun berkata banyak perkara yang perlu diperhalusi supaya pelaksanaan hudud menepati prinsipnya, dapat diterima dan dihormati oleh semua anggota masyarakat termasuk bukan Islam.

Sementara itu, Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad mengingatkan semua pihak supaya jangan mempolitikkan isu hudud termasuk cadangan Adun berkenaan kerana melaksanakan undang-undang yang berpaksi al-Quran dan hadis adalah perintah ALLAH SWT.

"Setiap orang Islam wajib terima hudud atau apa saja perintah ALLAH SWT. Jangan politikkan perintah ALLAH," tegasnya.

Tiada ulasan: