Isnin, 30 Julai 2012

Umno beri Lajim surat tunjuk sebab pecat

Wartawan Sinar Harian

Lajim nafi keluar Umno, sertai pembangkang
Datuk Seri Lajim Ukin melambai tangan sebelum beredar dari bangunan Parlimen baru-baru ini. - Foto fail Bernama 
 
 
SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berhubung keputusan dan tindakannya bertentangan dengan kepentingan parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Katanya, wakil rakyat itu perlu menjawab surat tersebut yang menggariskan "mengapa beliau tidak boleh dipecat daripada Umno."

"Ini ekoran peletakan semua jawatan dalam Umno dan BN selain hubungan akrab Datuk Seri Lajim dengan pakatan pembangkang yang seolah-olah persenda kepimpinan dalam Umno," katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Datuk Seri Lajim Ukin, yang minggu lalu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno, dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.

"Bagi jawatan Timbalan Menteri, saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menentukkan kedudukan saya kerana itu budi bicara beliau.

"Bagi menentukan keahlian saya dalam Umno, saya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil tindakan... kalau mereka rasa saya menyalahi peraturan parti mereka boleh pecat saya," katanya.

Dalam kenyataan itu, Tengku Adnan berkata, "saya telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Datuk Seri Lajim Ukin berkaitan mengapa beliau tidak boleh dipecat daripada Umno memandangkan beliau telah mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Umno dan BN pada 28 Julai 2012."

"Datuk Seri Lajim perlu menjawb surat tunjuk sebab tersebut dalam tempoh 14 hari bagi
dipertimbangkan untuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam Perlembagaan Umno," katanya lagi.

Tengku Adnan berkata, Fasal 20.8 Perlembagaan Umno menetapkan bahawa semua ahlinya hendaklah cintakan parti serta patuh kepada Perlembagaan dan Tataetika selain sentiasa memelihara nama baik dan maruah parti.

"Sehubungan itu, Umno memandang serius apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Lajim khususnya dalam pengisytiharan gerakan Pakatan Perubahan Sabah, selain hubungan akrab dengan pakatan pembangkang, yang seolah-olah mempersenda kepimpinan dalam Umno," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung BN berkata, apa yang berlaku adalah isu dalaman bersifat peribadi membabitkan Lajim dan "orang-orang tertentu dalam kancah politik negeri."

"Ia tidak sewajarnya dikaitkan dengan parti yang telah berjaga kepada negara dan rakyat keseluruhannya," kata beliau lagi

Tiada ulasan: