Isnin, 2 Julai 2012

Tokoh pembangunan tanah sertai PAS di Pahang

Harakahdaily,
 

TEMERLOH: Memandangkan Pahang penuh dengan kawasan peneroka, PAS Pahang berjaya menarik seorang tokoh pembangunan tanah iaitu Datuk Ramli Buyung, bekas Naib Presiden Kanan Felcra Berhad menyertainya.

 (Ramli [kanan sekali] berada di pentas bersama Datuk Fauzi dan Tuan Guru Abdul Hadi)

Penyertaan Datuk Ramli diumumkan pesurujaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Himpunan Hijau Pahang malam ini.

Ramli menyerahkan borang penyertaannya ke dalam PAS kepada Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang di depan puluhan ribu rakyat Pahang yang memenuhi Dataran Kerdau.

Tuan Ibrahim ketika mengumumkan penyertaan Ramli berkata, PAS Pahang mempunyai 10 tokoh yang ingin menyertai PAS.

"Malam ini kita umumkan satu dahulu," Tuan Ibrahim dengan disambut teriakan takbir dan kibaran bendera PAS.


(Puluhan ribu yang memenuhi Dataran Kerdau dalm Himpunan Hijau peringkat negeri Pahang)

Kibaran bendera di majlis anjuran PAS merupakan fenomena baru. Ia bermula di Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Alor Setar sebelum ini.

Ramli dilahirkan, dibesarkan dan bersekolah di Temerloh sebelum melanjut pelajaran ke universiti dalam bidang ekonomi.

Beliau merupakan tokoh teknokrat terbaru yang menyertai PAS menjelang pilihanraya umum ke 13 ini.

Hak demokrasi

Turut berucap dalam himpunan kali ini adalah Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Dalam ucapannya, Fauzi menyeru rakan sepasukannya sebelum ini sebagai pihak pelaksana undang-undang  memberikan keadilan kepada semua.

Beliau juga menyeru semua pihak agar melaksanakan sepenuh tuntutan Islam dan bersabar dalam menghadapi kerenah semua pihak dalam menyeru ke arah kebaikan.

"Bila saya isytihar masuk PAS, ada orang tuduh saya pengkhianat kepada negara.  Suka saya tegas saya tidak khianat. Kalau sebelum ini saya menjalankan tugas setimpal dengan gaji yang saya terima. Sekarang saya menjalan tugas dan hak demokrasi saya untuk menyuarakan pandangan saya," kata Fauzi.

Pada sebelah petang, dalam majlis Ekpresi Hijau Anak Muda, penyanyi yang baru menyertai PAS, Aishah turut memberikan ucapan.

Tiada ulasan: