Rabu, 18 Julai 2012

Syed Ali: Pemimpin Umno jangan hanya peluk tubuh

SINAR HARIAN

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali
Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali
 
 
KUALA LUMPUR - Pemimpin Umno diingatkan tidak hanya berpeluk tubuh tetapi lebih agresif menangani serangan pembangkang yang didakwa semakin "mengganas" menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata seorang pemimpin bahagian parti itu.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, serangan fitnah pembangkang dilihat semakin ketara menerusi portal berita dan laman sosial dengan menjadikan pengundi baharu sebagai sasaran.

"Saban hari kita baca pelbagai paparan maklumat dan pendedahan yang dipalsukan oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan jika kita masih mengambil sikap defensif (bertahan), lambat-laun fitnah itu akan dianggap sebagai sahih.

"Sikap 'berpeluk tubuh' di kalangan sesetengah pemimpin Umno an sentiasa berasa selesa harus diubah kerana saingan semasa PRU13 dijangka sengit dalam sejarah pilihan raya di negara ini," katanya di sini hari ini.

Syed Ali berkata, golongan muda yang menjadi pengundi majoriti pada PRU13 hendaklah didekati secara lebih konsisten bagi memastikan tahap keyakinan mereka terhadap kerajaan BN tidak terhakis.

Katanya, walaupun pembangkang mengeksploitasikan beberapa isu yang berbau fitnah tetapi jika tidak disekat, lambat-laun ianya mampu mengubah persepsi rakyat bahawa apa yang dilontarkan itu sebagai benar.

Beliau mengakui kerajaan BN bersikap terbuka dan tidak pernah menyekat kebebasan media tetapi kemunculan media alternatif menerusi jaringan teknologi maklumat sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada kerajaan.   

"Fenomena ini harus ditangani secara lebih berhemah dan agresif kerana sejarah PRU12 telah membuktikan pendekatan defensif UMNO mengakibatkan pembangkang berjaya menembusi kawasan yang selama ini dikuasai oleh BN," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: