Isnin, 2 Julai 2012

Siapa mampu gugat Jamaluddin Jarjis?

MOHD IZZATUL IZUAN
Siapa mampu gugat  Jamaluddin Jarjis?
Jamaluddin meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Najib mengenai pencalonan di Rompin.
KUALA ROMPIN - Bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah semakin dirasai apabila siri menjelajah seluruh negara giat dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malahan, di belakang tabir, parti-parti politik mula menyusun strategi untuk menarik sokongan pengundi baik parti pemerintah mahupun pembangkang.

Najib dalam siri ucapannya di hadapan umum memberi isyarat jelas bahawa PRU13 akan diadakan pada bila-bila masa saja walaupun rakyat terus berteka teki bilakah masa paling sesuai diadakan.

PRU13 merupakan yang pertama akan dikemudikan Najib sejak mengambil alih tadbir urus negara pada April 2009 dan ia sekali gus menunjukkan mengapa PRU ini penting bagi kesinambungan kepimpinan beliau dan BN.

Di Rompin misalnya, persoalan siapa calon sesuai yang akan bertanding atas tiket BN terus hangat diperkatakan memandangkan ia selama ini dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Lantaran itu, antara nama-nama bakal disebut untuk mengetuai Parlimen Rompin dalam menghadapi PRU sudah tentu bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Jamaluddin masih dilihat sebagai calon paling sesuai mempertahankan kerusi itu memandangkan sokongan yang kuat di peringkat akar umbi sepertimana sokongan yang diterima Najib di Pekan.

Tidak hairanlah apabila PRU12 lalu, Jamaluddin terus memperoleh undi majoriti mudah dengan menewaskan pencabar daripada Pas, Mazlan Mohd. Yassin dengan majoriti lebih besar iaitu 10,679 undi.

Situasi itu membuktikan bahawa Jamaluddin atau ada yang memanggil dengan nama singkatan JJ dianggap sebagai calon paling sesuai bagi kerusi Parlimen Rompin, namun adakah percaturan itu dilihat berkesan untuk PRU kali ini yang dikatakan lebih mencabar.

Persoalannya adakah beliau akan tetap mempertahankan kerusi itu atau akan ada perubahan di peringkat Parlimen dengan meletakkan Jamaluddin untuk bertanding bagi kerusi Dun serta meletakkan calon lain bagi kerusi Parlimen?

Spekulasi calon MB

'UMUM mengetahui, Jamaluddin antara nama yang disebut sebagai calon paling sesuai menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob selain dianggap sebagai orang paling rapat dengan Perdana Menteri.

Difahamkan Jamaluddin yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pekan sudah tentu menjadi orang kepercayaan Najib untuk menduduki jawatan nombor satu di peringkat Negeri itu.

Sepanjang menjadi menteri kabinet pula, Jamaluddin boleh dianggap sebagai ‘bapa sains Malaysia’ kerana menunjukkan prestasi kerja cemerlang dalam misinya menghantar seorang warga Malaysia ke angkasa lepas melalui projek ‘Angkasawan Negara’.

Projek angkasawan itu memperlihatkan satu fenomena baru dalam dunia pendidikan negara ini apabila rakyat mula dahagakan cinta ilmu pengetahuan terutama dalam bidang sains selepas negara menobatkan, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sebagai Angkasawan Negara yang pertama pada 2007.

Atmosfera itu memberi nafas baru dan satu suntikan kepada pelajar serta ibu bapa untuk mendalami bidang sains. Hal ini kerana mereka boleh melihat dan meraikan kehebatan sains melalui Angkasawan Negara.
Jamaluddin yang pernah ‘direhatkan’ dalam barisan kabinet kerajaan selepas PRU12 bagaimanapun diberi kepercayaan semula oleh Najib pada 4 Ogos 2009 sebagai Duta Besar Malaysia ke\ Amerika Syarikat.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Jamaluddin telah melaksanakan tugasnya dengan baik bagi memperkukuhkan hubungan lebih akrab antara Malaysia yang diketuai Najib dan Amerika yang dipimpin Presidennya, Barack Obama.

Mungkin atas faktor pengalaman luas, Jamaluddin dalam kancah politik selain pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan Kedua pada 21 November 2002 memungkinkan beliau diberi kepercayaan untuk menduduki jawatan nombor satu dalam negeri ini.

Bagaimanapun Sinar Harian pada 25 Mac lalu melaporkan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno, itu menafikan ‘khabar angin’ yang kini bertiup kencang mengaitkannya sebagai calon sesuai untuk menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Pahang menggantikan Datuk Seri Adnan Yaakob.

Jamaluddin berkata, terdapat sesetengah pihak atau blog-blog tertentu milik parti pembangkang yang cuba melaga-lagakan isu jawatan Menteri Besar Pahang sedangkan isu jawatan nombor satu di Negeri itu tidak pernah ditimbulkan Umno.

Menurutnya, beliau sungguh kesal dengan laporan blog-blog milik pembangkang kerana berniat jahat untuk memecahbelahkan perpaduan sedia ada di dalam Umno itu sendiri.

“Isu ini sengaja ditimbulkan oleh pembangkang yang bertujuan mahu melaga-lagakan perpaduan dalam Umno dan saya nasihatkan semua ahli Umno agar lebih berhati-hati dengan isu ,” katanya.

Tiada ulasan: