Isnin, 30 Julai 2012

Ramadan: Umno gamit pembaziran untuk PRU13


Oleh SAFAR JUMAAT
 
RAMADAN datang lagi. Datang membawa bersama-sama segala keberkatan kepada umat manusia yang patuh kepada perintah Allah dan menjauhkan segala larangan-Nya.

Kedatangannya disambut dengan penuh kegembiraan buat mereka yang bertaqwa tetapi kepada mereka yang tidak pernah mahu menghargainya, akan meneruskan kegiatan membazir, seperti bulan-bulan lain, kerana tiada kesedaran di jiwa masing-masing.

Lihatlah nanti, para pemimpin Umno di pelbagai peringkat akan mengambil kesempatan dalam bulan yang penuh kerahmatan ini untuk menjamu mereka yang dinamakan sebagai anak yatim di hotel-hotel mewah, yang penuh dengan pembaziran.

Apakah tiada sesiapa sanggup menegur, membayar seorang kanak-kanak Islam berbuka puasa dengan harga RM100? Apa sebenarnya yang hendak disampaikan kepada kanakkanak dan masyarakat mengenai perbuatan ini.

Hasrat murni untuk berbuka bersama-sama anak-anak yatim, yang dipunggah dari beberapa penempatan anak-anak yatim sebenarnya adalah sesuatu yang baik. Namun, menyantuni mereka dengan menjamu makan di hotel mewah dengan harga yang mahal, sebenarnya sesuatu yang tidak wajar.

Mereka yang menjamu anakanak yatim ini mungkin tidak mengeluarkan duit dari poket sendiri, melainkan menggunakan kemudahan kementerian dan agensi kerajaan, tetapi siapakah sebenarnya yang untung apabila pemimpin-pemimpin Umno ini melakukan pembaziran seperti ini?

Menjelang PRU13, banyak program kerajaan (sebenarnya program Umno-BN) dibuat kerana mahu menghabiskan duit kerajaan. Ketika mereka menghulurkan “sumbangan”, berapakah kos yang mereka habiskan untuk menyewa khemah, kerusi meja, makan dan minum selain pembesar suara dan kos-kos berkaitan hingga selesai majlis tersebut?

Mereka juga menggunakan saluran TV kerajaan seolah-olah suara parti mereka, sedangkan jika air time tersebut diberikan kepada syarikat-syarikat pengiklanan, berjuta-juta kantung kerajaan akan dapat diisi.

Setiap yang hadir, diangkut dengan bas. Berapakah kos pengangkutan yang mereka habiskan? Setiap yang hadir juga diberikan beg kitar semula yang juga tinggi kosnya dengan jumlah yang banyak, selain ada pen, buku nota dan buku-buku propaganda Umno-BN diselitkan sekali.

Ketika rakyat diseru supaya berjimat dan bersederhana atau wasatiyyah, kerajaan pula membazir, ikut kehendak hati mereka.

Pemberian segala bentuk itu sama ada BR1M atau apa sahaja, boleh disampaikan dalam pelbagai cara, jika pihak yang sedang berkuasa sekarang tahu untuk bersederhana dan berjimat.

Mereka tidak perlu menghimpunkan orang-orang tua dan orang susah dari pagi sampai ke petang, hanya kerana ada ucapan politik hendak disampaikan.

Semua itu membabitkan kos. Walaupun para petugasnya mungkin memberikan khidmat percuma, tetapi mustahil khemah, meja, kerusi dan jamuan makan selain bunting dan banner boleh didapatkan secara percuma.

Bukankah elok, semua koskos sewa khemah dan kerusi meja itu boleh digunakan untuk kegiatan yang lebih berfaedah daripada dibazirkan sesuka hati, demi mencari usaha menambah dan mendapatkan sokongan?

Tunggu dan lihatlah bagaimana nanti, dalam bulan Ramadan ini, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri memberi jamuan secara bermewah-mewahan untuk kawan-kawannya, rangkaian sahabat dan para penyokong Umno.

Apakah tanpa jamuan dari Presiden dan Timbalan Presiden Umno, rakyat tidak berbuka di rumah masing-masing?

Berapa setahun diperuntukan bajet berbuka puasa yang membabitkan Presiden Umno?

Bukan sahaja kos makanan, malahan kos sewa khemah dan kerusi-meja juga sebenarnya menelan kos yang cukup tinggi.

Presiden Umno akan menggunakan kesempatan yang ada untuk menunjukkan beliau masih mendapat sokongan dan jamuannya sentiasa dihadiri ramai orang.

Hakikatnya, orang yang sama akan datang berbuka dengannya.

Dan orang yang sama juga yang ke sana ke mari bersama-samanya ketika beliau memenuhi pusingan “turun padang” di serata tempat.

Kini, Program Juara Rakyat yang banyak membazir sudah tidak kedengaran kerana Umno dan BN bukan sahaja tidak layak menjadi juara, malahan, sudah tidak dipercayai lagi mampu menjuarai isu-isu yang timbul.

Kepada rakyat disajikan Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, Kedai kain 1Malaysia dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama, menteri dan isteri-isteri menteri berbelanja sakan di merata tempat, tanpa dapat menunjukkan sikap baik, bersederhana dalam berbelanja.

Akhirnya, ahli-ahli Umno yang terpinga-pinga bertanya; ‘mana janji “wow faktor” Umno’ yang kononnya mahu diperkenalkan suatu ketika dahulu, sebelum Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menjadi Timbalan Perdana Menteri?

Tiada ulasan: