Isnin, 30 Julai 2012

Polis tendang pintu hotel tangkap peserta Bersih

Oleh Aisha Geoffrey
 
KUALA LUMPUR : Saksi pertama pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini memberitahu, polis menceroboh sebuah hotel semata-mata untuk menangkap peserta yang terlibat dalam himpunan itu.

Goh Ban Huat, 48, berkata, beliau dan peserta lain terpaksa lari ke lobi Hotel Swiss yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk menyelamatkan diri dari tembakan gas pemedih mata.

“Selepas 20 minit, 10 anggota polis tendang pintu hotel dan jerit ‘tangkap, tangkap!’,” kata Goh.

“Polis mengarahkan semua yang duduk di lobi untuk keluar, ada orang cakap ‘this is a private place’ tapi polis tak mengendahkannya,” jelas beliau.

Menurut Goh, beliau memberi kerjasama penuh supaya tidak dipukul polis.

“Saya ingat kalau bagi kerjasama, polis takkan pukul, tapi sebaik saya keluar dari hotel, polis terus tumbuk dan tendang saya,” katanya.

“Sepanjang perjalanan saya dibawa ke Dataran Merdeka, polis yang lalu lalang juga memaki hamun saya,” cerita Goh.

Goh merupakan saksi ke-19 dalam sidang ke lapan siasatan awam Suhakam ke atas perlanggaran semasa dan selepas himpunan 28 April lalu.

Panel siasatan diketuai Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Badan Peguam dan polis turut hadir sebagai pemerhati.

Tiada ulasan: