Jumaat, 6 Julai 2012

Polis rampas kamera wartawan, dakwa saksi

Abdul Rahim Sabri


 
Seorang pesara Baharudin Hashim mendakwa beliau melihat anggota polis merampas kamera wartawan dan memberi amaran kepada petugas media yang cuba merakam gambar ketika pasukan itu menyuraikan perhimpunan BERSIH 3.0, 28 April lalu.

NONEBaharudin memberitahu pendengaran awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa beliau melihat perkara itu ketika berada di Wisma Kraftangan, berdekatan Masjid Jamek di Jalan Tun Perak.

"Ada yang kena rampas (kamera), diambil, diberi amaran. 'Kalau ambil juga kena rampas'," dakwanya dalam sesi berkenaan.

Ketua panel siasatan tersebut, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee kemudian menyoalnya berhubung tindakan polis dan bagaimana beliau dapat mengenali wartawan berkenaan.

Baharudin seterusya menjawab: "Saya nampak ada kamera, ada tag sebagai wartawan... Saya nampak polis rampas kamera wartawan."

Baharudin berkata kejadian itu berlaku selepas pukul enam petang di jalan tersebut.

Sebelum itu, Baharudin berkata pada mulanya, beliau ingin melihat-lihat barangan di sebuah gedung membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum bergerak ke Masjid Jamek untuk menunaikan solat Asar di masjid berkenaan.

Katanya lagi, beliau juga berada di lokasi berkenaan kerana "ingin tahu" perkembangan peserta BERSIH 3.0 kerana berlaku insiden "orang lari-lari macam ada kejar-keja" di dalam pusat membeli-belah berkenaan.

Baharudin memberi keterangan di pendengaran awam berhubung insiden kekerasan oleh pihak berkuasa semasa perhimpunan itu

di hadapan panel Suhakam dianggotai Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee, Prof Emiretus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dan Detta Samen.

Tiada ulasan: