Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Peserta Himpunan Bersih 3.0, Baharudin Hashim, 53, memberitahu, polis hanya memberi tempoh bersurai selama dua minit sebelum bertindak mengepung peserta.
Jelas beliau, selepas tempoh itu, polis terus bertindak ganas dengan mengejar dan membelasah peserta yang masih berada di kawasan berhampiran.
“Itu adalah satu perangkap dan alasan untuk membelasah peserta, bukan kami tak mahu pulang…tapi tempoh yang diberikan memang tak cukup, tambahan pula LRT ditutup, bagaimana kami nak bersurai?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya panel dalam sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), semalam.
Bercerita lanjut, Baharudin yang merupakan saksi kedua pendengaran itu berkata, tanpa sempat meninggalkan kawasan tersebut, beliau langsung duduk di hadapan Bangunan Wisma Kraftangan, Jalan Tun Perak sebelum dirempuh tiga anggota polis secara tiba-tiba dan menangkapnya.
“Mereka heret saya sampai ke Dataran Merdeka, dan dalam perjalanan itu saya disepak, ditumbuk sehingga lebam seluruh badan,” katanya.
Menurut Baharudin, beliau langsung tidak melawan malah merayu kepada polis dengan berkata: “Tolonglah tuan lepaskan saya, saya dah tua…” sehinggalah beliau dilepaskan atas arahan seorang pegawai.
Tambahnya, selepas kejadian itu, beliau menjadi sangat takut dan trauma terhadap polis.
“Bukan setakat takut, malah saya berasa malu, bodoh dan terhina kerana diperlakukan sebegitu rupa,” jelas Baharudin.
“Tapi atas nasihat dan dorongan peguam-peguam dari Lawyers For Liberty, barulah saya berani tampil membuat laporan polis,” katanya di hadapan panel yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan