Isnin, 23 Julai 2012

Peserta terkulai dicampak ke dalam trak – Saksi

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : Seorang lagi saksi, Hanif Ahmad Zainuddin, 36, memberitahu, beliau sempat menyaksikan seorang peserta himpunan dibelasah hingga terkulai sebelum dibaling ke dalam trak oleh polis.

“Dalam perjalanan saya dibawa polis ke trak, saya sempat menyaksikan seorang peserta dalam usia 20 an dibelasah sehingga tak mampu bangun, tapi masih ditendang dan dipijak polis,” katanya.

“Kemudian, bila peserta tersebut terkulai, polis bertindak membaling mangsa begitu saja ke dalam trak,” sambung beliau.

Hanif merupakan saksi pertama sidang keempat pendengaran awam perhimpunan Bersih 3.0 oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Menurut Hanif, sewaktu sedang duduk menunggu LRT dibuka semula, sekumpulan polis datang mengetuk kepala dan membelasah beliau.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Badan Peguam Malaysia dan polis turut hadir sebagai pemerhati.

Tiada ulasan: