Ahad, 1 Julai 2012

Pelajar Pinjaman Selangor Dapat Biasiswa Jika CGPA 3.75





SHAH ALAM:  Pelajar yang mendapat pinjaman pelajaran Selangor berpeluang menukar status pinjaman kepada biasiswa sekiranya berjaya mendapat CGPA 3.75 dan ke atas selepas tamat pengajian.

Manakala mereka yang memperoleh CGPA antara 3.5 hingga 3.75 hanya perlu membayar 75 peratus dari nilai pinjaman.

Berita baik ini diumumkan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali pada majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian Pinjaman Pelajaran Kerajaan Selangor.

Menurut Halimah, ini bagi menggalakkan pelajar supaya belajar dengan lebih tekun dan memberikan sepenuh perhatian kepada pengajian.

Pinjaman yang diberikan ini merupakan pinjaman tanpa faedah yang dapat meringankan beban peminjam dalam membuat bayaran semula selepas tamat pengajian.

“Kita cuba galakkan pelajar mencapai CGPA 3.75 kerana kerajaan Selangor bukan sahaja tidak mahu adik-adik membayar (semula) bahkan menukar semula pinjaman itu tadi kepada biasiswa. CGPA 3.75 tidak perlu bayar langsung.

“Kalau 3.50 hingga 3.75 bayar 75 peratus sahaja. Cuba capai CGPA sehingga  adik-adik tidak perlu bayar pinjaman ini,” katanya.

Sejak tahun 1987 sehingga kini, sebanyak RM140,080,168 juta telah diberikan kepada 15, 580 peminjam. Untuk tahun 2012, kuota penerima ditingkatkan kepada 2,000 orang.

Sesi pertama menyaksikan RM4,382,300 juta diagihkan kepada 737 orang peminjam manakala sesi
kedua akan diadakan pada bulan Ogos.




Dalam pada itu, raut gembira terpancar pada wajah penerima pinjaman yang melahirkan rasa terima kasih ke atas keprihatinan Kerajaan Selangor.

Peljar Unversiti Selangor (Unisel), Muhammad Shazril Ahmad Shukri melihat perkara ini sebagai satu inisiatif yang baik memandang sebelum ini Unisel terlibat dengan kontroversi pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar.

Katanya, kadar faedah yang tinggi seperti yang dikenakan oleh PTPTN nyata membebankan pelajar.
“Ini merupakan kali kedua saya mendapat pinjaman yang sama. Sebelum ini saya mendapat pinjaman pada peringkat diploma,” katanya.

agi penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM),  Afifah Aqilah Alias Khosnan, 20, pemberian pinjaman ini merupakan satu langkah yang baik dan beliau tidak perlu membuat pinjaman dari PTPTN yang mengenakan faedah yang tinggi.

Lo Sue Ann, 20, yang melanjutkan pelajaran dalam bidang pergigian di Kolej Universiti SEGI gembira apabila beliau terpilih untuk menerima pinjaman  daripada Kerajaan Negeri.

“Saya gembira mendapat pinjaman daripada Kerajaan Negeri dan ia akan meringankan beban ibu bapa saya kerana kos pengajian pergigian sangat tinggi,” katanya.



Sementara itu, ibu bapa turut menyokong dan melihat inisiatif ini sebagai satu langkah pembiayaan prihatin Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor.

Adnan Yahaya, 50 yang mewakili anaknya, Muhammad Hilman gembira apabila anaknya yang sedang menuntut di Universiti Tun Hussein Onn, Johor mendapat pinjaman berkenaan.

Katanya, pinjaman tersebut meringankan perbelanjaannya kerana pinjaman itu tanpa faedah.

Tiada ulasan: