Selasa, 31 Julai 2012

Pas: Rakyat berhak tentukan hudud, bukan Karpal

NURRUL HUDA AHMAD LUTFI & MALINI MAZLAN

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
 
 
KOTA BHARU - Biarkan pelaksana hukuman hudud ditentang keras Pengerusi DAP Karpal Singh, Pas Kelantan menegaskan hanya rakyat berkuasa menentukan dasar kerajaan termasuk pelaksanaan undang-undang Islam.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, situasi itu berlaku melalui sistem demokrasi khususnya pilihan raya.

“Dalam soal ini, rakyat memainkan peranan utama, contohnya, Pas tidak bersetuju perjuangan menegakkan negara sekular, tetapi kita hendak halang macam mana sebab rakyat yang menentukan perkara itu,” katanya kepada pemberita.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengatakan DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini biarpun mengakui Islam agama rasmi negara mengikut perlembagaan.

Dalam kenyataan itu, Karpal berkata, kenyataan itu adalah pendirian DAP bukan pandangan peribadinya.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah itu menegaskan Pas akan tetap berjuang secara berterusan menegakkan syariat Islam biarpun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan dasar perjuangan parti itu.

“Bagi memperjuangkan agenda Islam seperti yang Pas bawa ini pun rakyat yang boleh menentukan kejayaan ia. Tetapi kita tidak akan berhenti memperjuangkan Islam, semata-mata sebab ada orang yang tidak bersetuju. Di sini usaha kita ialah berterusan memberi penjelasan kepada rakyat dan biar rakyat membuat keputusan,” katanya.

Mohd Amar yang dilantik sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa teknikal hudud Kelantan menyifatkan penentangan daripada Karpal itu bukan suatu perkara yang luar biasa memandangkan Umno sendiri tidak menyukai pelaksanaan hukum itu di negara ini.

Malah beliau berkata, MCA turut menolak undang-undang Islam itu dengan menyuarakan hasrat akan keluar daripada Barisan Nasional (BN), sekiranya Umno menyokong hudud.

“Dari segi politik bukan satu benda yang pelik sebab MCA sendiri pun menentang undang-undang hudud dan bila Adun Kemelah mencadangkan supaya Johor melaksanakan undang-undang hudud, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menggunakan istilah keras, jadi saya rasa lebih teruk lagi dari DAP,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Amar berkata, Pas menghormati pendirian DAP tersebut dan tidak menjangkakan DAP boleh menerima secara terbuka memandangkan berkemungkinan tidak memahami sepenuhnya tentang hukum tersebut.

Tiada ulasan: