Rabu, 18 Julai 2012

Mampukah S’gor atasi krisis air?

 
Menteri Besar terpaksa cepat bertindak kerana krisis air dipercayai benar-benar sedang berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.



 Kerajaan negeri akhirnya menyatakan hasrat mahu mengambil alih pentadbiran syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi mengatasi masalah bekalan air atau disebut ‘krisis air’ yang melanda sekarang ini.

Ini berikutan kegagalan Syabas menyediakan air yang dirawat yang mencukupi dan kegagalan mengurangkan jumlah air yang tidak membawa hasil (NRW – non revenue water), demikian menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, kerajaan negeri boleh bertindak untuk mengambil alih pentadbiran Syabas berdasarkan perjanjian konsesi dan kerajaan Selangor telah pun memaklumkan perkara ini kepada Syabas.

Abdul Khalid terpaksa cepat bertindak kerana krisis air dipercayai benar-benar sedang berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya seperti yang didakwa Pegawai Operasi Syabas Datuk Lee Miang Koi.

“Berdasarkan kepada keadaan terkini iaitu bagi tempoh Mei hingga awal bulan Julai ini, rezab bekalan air secara keseluruhan adalah antara 1.15 peratus hingga kira-kira 2.04 peratus,” katanya ketika menyampaikan taklimat pada Forum Mengenai Isu Bekalan Air Selangor anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Shah Alam baru-baru ini.

Semalam Syabas mendakwa berlaku krisis air di beberapa bahagian di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya walaupun penawaran air mentah, air yang belum dirawat, lebih dari mencukupi dan turunnya hujan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Teknikal Syabas, V Subramaniam berkata, krisis air tidak ada kena mengena dengan berapa banyak air yang tersimpan di empangan-empangan di negeri ini.

“Krisis air berlaku kerana kekurangan jumlah air yang dirawat untuk memenuhi keperluan, katanya, sambil menyalahkan Menteri Besar kerana mengelirukan rakyat kononnya empangan penuh dengan air dan malahan melimpah.

Kegagalan Syabas 

Sebaliknya exco negeri Dr Xavier Jayakumar yang telah melawat beberapa empangan air membidas kenyataan Syabas dengan mempertikaikan kegagalan syarikat konsesi air itu untuk merancang dan mengurus air dengan baik.

Sebanyak 29 dari sejumlah 34 loji air di Selangor dipajakkan kepada Syabas.

Isu air di Selangor sudah berlarutan sejak sekian lama di mana kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan saling salah menyalahkan di antara satu sama lain.

Isu air sudah menjadi isu politik yang berbelit-belit dan mengelirukan.  Rakyat terbanyak sudah tidak mengerti apa yang sebenarnya berlaku dan siapa yang patut disalahkan dalam perkara ini.

Kerajaan negeri mahu menstrukturkan semula industri air manakala kerajaan pusat pula mahu loji Langat 2 dibina segera dengan menebuk Banjaran Titiwangsa bagi menyalurkan air dari Pahang.



Kerajaan negeri enggan membina loji Langat 2 kerana kos projek itu terlaku tinggi manakala keperluan air boleh didapati dengan cara lain yang lebih murah.

Menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin, loji Langat 2 menelan belanja RM8.9 bilion tetapi beliau mendakwa ini lebih murah berbanding kos mendapatkan air dari sumber-sumber yang lain.

Kroni Umno

Lebih merumitkan keadaan apabila Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Faekah Husin mendakwa pembinaan loji Langat 2 akan menguntungkan kroni-kroni Umno dan kesannya, berupa tarif air yang tinggi, yang akan ditanggung oleh rakyat.

Faekah pernah mengugut untuk mendedahkan nama-nama syarikat milik Umno dan kuncu-kuncunya yang akan mendapat faedah dari projek ini tetapi sehingga hari ini, beliau belum mendedahkan nama-nama syarikat tersebut.

Peter Chin juga pernah memberitahu bahawa projek pembinaan loji Langat 2 mendapat pembiayaan dari kerajaan Jepun.

Kelewatan pembinaan loji tersebut akan mengakibatkan kerajaan pusat menanggung kerugian kerana terpaksa menanggung kos menservis pinjaman tersebut yang menurut beliau sebahagiannya telah pun dikeluarkan.

Berdasarkan fakta-fakta ini adalah agak sukar bagi kita, terutama para pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, untuk mengharapkan masalah ini dapat diatasi dengan seberapa segera.

Krisis air juga sedang menguji kecekapan dan kemampuan kerajaan negeri menangani masalah ini kerana air merupakan satu keperluan asas yang sangat penting bagi kehidupan seharian.

Kerajaan negeri Selangor harus mencari jalan penyelesaian segera dan melaksanakan program serta rancangan sebagai jalan alternatif, sekiranya enggan membina loji Langat 2.

Memandangkan pilihan raya umum ke 13 semakin hampir, ini merupakan satu ujian getir buat Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Kerajaan Umno-Barisan Nasional sudah pasti mahu melihat Menteri Besar kecundang dalam isu ini bagi memudahkan mereka merampas kembali negeri terkaya itu.

Tiada ulasan: