Sabtu, 7 Julai 2012

Lagi Skandal Umno Beli Tanah, Selangor Rugi Lebih RM 3 Juta.





SHAH ALAM: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim hari ini mendedahkan satu lagi kes pembelian tanah oleh Umno Tanjong Karang yang merugikan rakyat Selangor. Kali ini negeri hilang RM3.3 juta akibat diskaun premium yang diberikan kepada parti itu.

Tanah komersial keluasan 1.2 hektar tersebut terletak di Jalan Sungai Kajang, Tanjong Karang dan Umno Tanjong Karang hanya membayar premium RM130,244.

Sedangkan tanah itu mempunyai nilai pasaran sebanyak RM3.3 juta pada tahun 2001, semasa Umno Tanjong Karang membuat pembelian.

Menurut Suee Lim, pada ketika itu mantan Menteri Besar, Dr Mohamed Khir Toyo merupakan Ketua Bahagian Umno Tanjung Karang.

Menurutnya, pada masa itu, Umno Tanjong Karang merayu supaya harga asal premium tanah dikurangkan dan kerajaan negeri, yang diterajui Dr Mohamed Khir pada masa itu, meluluskan permohonan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada April 2002.

“Secara tidak langsung Umno mendapat durian runtuh sekiranya dijual atau dipindah milik dengan keuntungan RM3.1 juta,” kata Suee Lim pada satu sidang media di sini.

I

Ini merupakan pendedahan kedua yang dibuat Suee Lim selepas mendedahkan bahawa Umno bahagian yang sama membeli tanah 47,000 kaki persegi daripada Kerajaan Negeri Umno-BN pada masa itu dengan harga premium hanya satu ringgit untuk satu kaki persegi.

Walhal, premium tanah tersebut pada masa ia dibeli pada 2002 adalah RM 27 untuk satu kaki persegi.

“Ini adalah antara siri tanah-tanah kerajaan yang diagihkan kepada Umno oleh Kerajaan BN dahulu. Khir Toyo sebagai Ketua Bahagian Tanjong Karang pada ketika itu.

“Tanah diagihkan begitu murah, sedangkan rakyat pada ketika itu tidak diluluskan meskipun tapak rumah.

“Apakah modal Umno nak berbicara soal ketelusan. Umno ghairah isu Talam tapi tidak berasas. Pada masa sama mereka mengutamakan kepentingan diri sendiri,” katanya.

Tegas Suee Lim, beliau mencabar Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar agar dapat memberikan penjelasan sewajarnya kepada rakyat mengapa tanah diberikan dengan begitu murah.

Tiada ulasan: