Sabtu, 28 Julai 2012

KTS: Hudud bukan penyelesaian masalah sosial

Ahmad Fadli KC


 
Kelab Taat Suami (KTS) menolak undang-undang hudud sebagai penyelesaian kepada masalah sosial dalam negara ini.

Menurut presidennya, Fauziah Ariffin, penguatkuasaan undang-undang juga tidak akan dapat menangani masalah seperti seks luar nikah, pembuangan bayi, dan juga hubungan sejenis.

NONEBeliau percaya hukum hudud merupakan langkah terakhir untuk menghukum mereka yang terlibat dalam masalah sosial seperti seks luar nikah.

Menurutnya, hukum hudud antara lainnya memperuntukkan saksi yang disyaratkan sebagai individu yang tidak meninggalkan solat dan bukan seorang fasik.

Namun, individu seperti itu sukar dicari pada masa ini, katanya.

"Kalau dalam hukum hudud pun, kita kena datangkan empat saksi. Senang ke nak datangkan saksi itu, saksi yang tak tinggalkan sembahyang, saksi yang tidak fasik.

"Kalau kita jalan, tengok benda yang haram, dah jatuh fasik. Kalau tak istighfar, dah kekal fasik.

"Senangkah hendak dapat saksi begitu di zaman ini? Sebab itu kalau sudah dapat empat itu baru boleh dapat hukum hudud.

"Hendak dapatkan empat itu baru boleh jatuh hukum hudud, kalau tidak, tak sah hukum itu," katanya.

NONEPada masa sama, Fauziah percaya pelaksanaan undang-undang tidak akan mampu menangani masalah sosial.

Beliau memberikan contoh undang-undang berkaitan pengedaran dadah yang ketat di negara ini tetapi masih tidak mampu mengekang jenayah tersebut.

"Pada kamilah, kalau kita letak mendahulukan hukum, orang takkan dapat (ikut). Jangan cakap hukum Islam, kalau sebut dadah, banyak juga orang kena gantung kerana dadah sebab orang tidak takut," katanya.

Pada masa sama katanya, institusi-institusi yang didirikan bertujuan untuk menangani masalah tersebut juga gagal memenuhi tujuan asal penubuhannya.

"Kita lihat, tidak berlaku apa-apa perubahan pun. Malah, makin bercambah-cambahlah anak-anak luar nikah ini dilahirkan dan rumah-rumah urut juga tidak pernah berkurang pun," katanya.

NONEBeliau sebaliknya menganjurkan pendekatan mendidik masyarakat seperti dilakukan Nabi Muhammad sewaktu memimpin golongan awal penganut Islam di Mekah.

Menurutnya, Rasulullah sendiri sewaktu mula mendidik umat Islam juga mengambil pendekatan mengenal dan mencintai Tuhan dan bukan pendekatan menghukum.

"Sebab itu Rasulullah masa di Mekah dahulu pada peringkat awalnya memperkenalkan masyarakat dia agar menyembah Allah.

"Kemudian diceritakan tentang syurga supaya manusia mahu ke syurga dan kemudian cerita tentang neraka.

"Itulah dakwah pertama Rasulullah selama 13 tahun menceritakan hal itu sampai di Madinah barulah cerita tentang syariat," katanya.

Bahagian pertama: 'Kelab Taat Suami bukan untuk rekrut ahli Al-Arqam'
Bahagian kedua: Kelab Taat Suami: Tiada rogol dalam perkahwinan

Wawancara dijalankan oleh Jimadie Shah Othman, Ahmad Fadli KC dan Siti Sara Ghazie.

Tiada ulasan: