Isnin, 30 Julai 2012

Kesan Penarikan Diri Lajim Kepada BN


MUTAKHIR - KUALA LUMPUR — Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Bumburing mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional dan akan menyertai Pakatan Rakyat dipercayai melalui parti Angkatan Perubahan Sabah yang baru diumumkan penubuhannya.

Ahli Parlimen Tuaran itu juga berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah untuk membantu PR memenangi negeri itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. - Malaysian Insider

Posting Asal
PENGUMUMAN Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lajim Ukin yang beliau menarik diri daripada Umno dan akan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang pastinya bukan berita yang diharapkan oleh Perdana Menteri merangkap presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak.

Tetapi tindakan Lajim itu tidaklah pula sesuatu yang baru atau memeranjatkan. Ramalan mengenai kemungkinan beliau menarik diri daripada Barisan Nasional dan menyertai pembangkang sudah berbulan lamanya.

Beberapa bulan lalu, timbul cakap-cakap bahawa beberapa pihak yang tidak puas hati dengan Mohd Najib di Sarawak dan Sabah akan berpakat bagi menentang BN di dua buah negeri itu.

Bagaimanapun, perselisihan pendapat antara Mohd Najib dan kepemimpinan BN Sarawak, khususnya mengenai kedudukan Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri, telah diatasi. Ramalan mengatakan Abdul Taib tidak akan dipaksa meletakkan jawatan.

Penarikan diri Lajim daripada semua jawatan dalam Umno adalah tamparan hebat terhadap Mohd Najib yang cuba mewujudkan gambaran bahawa beliau mempunyai kawalan penuh ke atas politik di dua buah negeri Borneo itu. Selain menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno, Lajim adalah juga ketua bahagian Umno Beufort dan pengerusi BN Beufort.

Mohd Najib sendiri berkata yang peletakan jawatan Lajim adalah sesuatu yang dijangkakan buat beberapa ketika dan beliau akan membuat keputusan esok (Isnin) mengenai kedudukan Lajim sebagai Timbalan Menteri.

Sebaik mana pun Perdana Menteri cuba menyembunyikan kehampaannya terhadap perkembangan di Sabah itu, hakikatnya ia adalah petanda yang tidak positif bagi BN, khasnya di Sabah.

Sambil merujuk kepada peletakan jawatan Datuk Onn Jaafar sebagai presiden Umno, Mohd Najib berkata penarikan diri oleh ahli Umno bukanlah sesuatu yang baru. Yang lebih penting, kata beliau, adalah kesetiaan kepada parti.

Setelah kehilangan pengaruh di kawasan-kawasan Cina pada pilihan raya negeri (PRN) Sawarak pada April tahun lalu, pergantungan BN kepada Sabah menjadi lebih besar. Dua buah negeri Borneo itu sering disebut sebagai “fixed deposit” atau simpanan tetap kerana jaminan sokongan yang padu kepada BN.

Pada PRU 2008, BN menang 30 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dan 24 daripada 25 di Sabah berbanding 85 yang dimenangi di Semenanjung dan sebuah di Labuan.

Tetapi, selepas kemaraan besar DAP dalam PRN Sarawak adalah dikhuatiri yang BN mungkin kehilangan sehingga enam kerusi Parlimen di Sarawak jika trend PRN itu berterusan.

Dengan penarikan diri Lajim, tabung simpanan tetap BN di Sabah telah retak dan jika merebak, pergantungan BN terhadap negeri bawah bayu itu akan menjalin lebih tidak terjamin.

Di Sabah, taat setia politik bolehlah diumpamakan seperti pasir di pinggir pantai – sentiasa berubah. Penarikan diri Lajim boleh membawa kepada pemberontakan besar-besaran seperti yang terjadi pada PRU 1990.

Soalnya, masalah Mohd Najib dan BN di Sabah tidak terhad kepada Lajim seorang saja. Beliau juga perlu membuat keputusan mengenai kedudukan Ketua Menteri, Musa Aman, dan pergiliran jawatan Ketua Menteri antara Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina yang dimansuhkan oleh pendahulunya, Abdullah Ahmad Badawi.

Kesimpulannya, perkembangan terbaru di Sabah itu merumitkan lagi tugas Mohd Najib membuat keputusan mengenai tarikh PRU akan datang kerana tabung simpanan tetap BN mungkin sudah retak. Wallahualam.

5 ulasan:

Paquin berkata...

Mungkin ada kesan jugalah tapi rasanya takkan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap BN. Itupun kalau BN mampu buktikan pada rakyat mereka layak disokong:P hihi

Paquin berkata...

So all the best kepada semua parti dan calon yang akan bertanding nanti.

mantera berkata...

ia rasanya takkan menguggat sanggt kedudukan BN, Bn akan tetap kukuh walaupun tanpa Lajim.

Unknown berkata...

Tidak ada yang hebat dan menarik mengenai perletakkan jawatan oleh Bumburing itu.

Tanpa Nama berkata...

bagus juga apa yang dibuat oleh Lajim. Sekurangnya hilang juga beban kepada BN mengenai pemimpin yang dari dulu menimbulkan persoalan kepada BN.