Isnin, 9 Julai 2012

Kerajaan BN undang 5D

 
Lim Guan Eng


 
ULASAN Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak menyerang Pakatan Rakyat kerana menggalakkan budaya mungkir janji, tidak berterima kasih dan tidak melangsaikan hutang.

Sebenarnya, BN adalah parti yang memungkiri janji mereka untuk bertindak adil kepada kaum-kaum minoriti melalui penindasan dan penganiayaan terhadap Pengerusi Bersama BERSIH Datuk S Ambiga di rumahnya dengan gerai burger lembu, tarian punggung oleh veteran tentera dan seruan untuk menggantung beliau kerana derhaka.

Ambiga sasaran mudah kerana beliau seorang Hindu, India dan wanita. Ini selaras dengan pendirian mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa isu perkauman antara Melayu dan bukan Melayu akan menjadi penentu pilihan raya umum yang akan datang.

Najib mahu rakyat berterima kasih kepada BN, padahal sepatutnya parti politik seperti BN yang harus berterima kasih kepada rakyat kerana mengundi mereka.

Tambahan, Najib tidak layak untuk bercakap tentang pelangsaian hutang apabila hutang berbilion-bilion ringgit yang diambil oleh kroni-kroni Umno daripada bank-bank tempatan dalam skandal-skandal kewangan masih lagi tidak dibayar. Kenapakah kroni Umno boleh mendapat layanan istimewa berbanding dengan rakyat?

Najib kononnya yakin untuk mencapai kemenangan 14-0 dan memenangi kesemua negeri, namun beliau tidak berani untuk memanggil pilihan raya. Jelas beliau tahu bahawa Pakatan sudah berjaya memaklumkan rakyat bahawa kerajaan BN akan membawa gejala 5D, iaitu defisit, debt (hutang), deceits (penipuan), dictatorship (pemerintahan diktator) dan brain drain (penghijrahan modal insan).

Malah lidah Umno New Straits Times telah menyerang saya minggu lepas kerana saya telah membongkar gejala 5D.

Namun begitu, saya mengakui bahawa sekadar memaklumkan rakyat tentang 5D ini tidak mencukupi. Apakah jalan penyelesaiannya? Cabaran besar Pakatan adalah untuk meyakinkan rakyat boleh membanteras gejala 5D.

Dasar visa kerja Australia
Pakatan percaya bahawa dengan membasmi rasuah dan korupsi kita berupaya untuk menangani gejala 5D.

Buat masa ini, tahap rasuah makin teruk. Kedudukan Malaysia dalam tangga Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sudah pun jatuh kepada nombor 60 berbanding nombor 37 pada tahun 2003.

Daripada memberi pinjaman kepada penternak lembu, keluarga menteri yang tidak pernah menternak lembu pula diberi pinjaman RM250 juta yang kemudian disalah guna untuk pembelian kondo. Kita juga boleh melihat kekayaan melampau pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Sarawak.

Hutang kerajaan Persekutuan Malaysia mencecah RM600 Bilion Atau RM21,500 setiap orang untuk 28 Juta Rakyat Malaysia.

Penipuan dan kuasa diktator BN jelas akan membiarkan rasuah berleluasa dan menyebabkan penghijrahan modal insan yang lebih besar. Sejak merdeka pada tahun 1957, lebih dua juta rakyat Malaysia meninggalkan negara.

Perubahan dasar visa kerja Australia baru-baru ini yang akan membenarkan graduan Australia untuk terus menetap di Australia selama 2 hingga 4 tahun hanya akan mempercepatkan proses "brain drain" ini.

Bajet tambahan 2012 berjumlah RM13.8 bilion baru-baru ini akan meningkatkan unjuran defisit RM45.9 bilion dalam bajet 2012 kepada jumlah besar RM59.7 bilion, iaitu defisit yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia.

Sikap tidak bertanggungjawab dalam urusan kewangan oleh kerajaan BN dibuktikan apabila dana tambahan ini merangkumi peruntukan RM1.5 juta kepada ahli-ahli Parlimen BN sementara Ahli-ahli Parlimen Pakatan tidak mendapat satu sen pun.

Lebihan bajet negeri Pakatan
Setakat 31 Mac lalu, hutang kerajaan berada di tahap RM470 bilion. Jika kita masukkan defisit yang dijangka dalam bajet 2012, maka hutang kerajaan akan meningkat melebihi RM500 bilion di akhir tahun 2012.

Ini tidak pula mengambil kira peningkatan dalam liabiliti kontingen yang bernilai hampir RM110 bilion yang tidak termasuk dalam kunci kira-kira. Jika liabiliti kontingen ini ditambah kepada hutang rasmi kerajaan, maka hutang kita akan bertambah kepada RM600 bilion ataupun RM21,500 setiap seorang rakyat Malaysia!

Kali terakhir negara kita menikmati lebihan bajet adalah pada tahun 1997 semasa Anwar Ibrahim memegang jawatan menteri kewangan dan timbalan perdana menteri. Sejak 1997, kita telah mengalami defisit bajet selama 15 tahun berturut-turut.

Oleh itu, kita mahukan Anwar menjadi perdana menteri baru untuk memulihkan defisit bajet kepada lebihan bajet. Hutang kerajaan kita telah meningkat 5 kali ganda daripada RM89 bilion pada tahun 1997 kepada RM470 bilion setakat Mac 2012, berbanding dengan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya tiga kali ganda.

Berbeza dengan prestasi kewangan BN yang kurang baik, kerajaan-kerajaan negeri Pakatan telah mencatatkan lebihan bajet setiap tahun dan juga mengurangkan hutang kita.

Pulau Pinang telah mengurangkan hutang sebanyak 95 peratus ataupun RM600 juta daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir tahun 2011. Ini telah dicapai bukan dengan penipuan tetapi melalui pentadbiran bersih berdasarkan prinsip cekap, akauntabel dan telus.

Jelas bahawa sistem tender terbuka, pendedahan kontrak kerajaan dengan sektor swasta, pengisytiharan harta secara terbuka dan disahkan oleh firma akauntan antarabangsa, serta Enakmen Kebebasan Maklumat berjaya membanteras rasuah.

Negeri-negeri Pakatan seperti Pulau Pinang telah pun membuktikan bahawa kerajaan bersih dan baik boleh menamatkan gejala 5D.
 
LIM GUAN ENG setiausaha Agung DAP dan anggota Parlimen Bagan.

Tiada ulasan: