Oleh Adil Mat Selamat
Kekecewaan rakyat kepada Barisan Nasional ditunjukkan pada pilihan raya umum 2008 yang lalu.
Namun adakah kekecewaan rakyat ini sudah terubat apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri manakala Datuk Seri Najib Razak pula mengambil alih dengan memukul canang transformasi?
Jawapannya mungkin perlu ditunggu pada keputusan PRU ke-13 kelak. Tetapi, dalam tempoh 3 tahun Najib mengambil alih pemerintahan di Putrajaya, kita boleh melihat dan menilai sejauh mana iltizam politik beliau telah dterjemahkan dengan jujur.
Politik populis Najib
Najib kini menjemput rakyat memberi pandangan dan saranan dalam merangka belanjawan negara tahun 2013 yang akan dibentangkan kelak.
Kerja menjemput rakyat agar memberi saranan tersebut pastilah dengan niat mahu menonjolkan imej BN dan Najib yang kononnya prihatin dan mengutamakan rakyat, ini jelas dapat dilihat.
Jika BN mengatakan bahawa dasar dan rancangan di dalam Buku Jingga – tawaran Pakatan Rakyat untuk rakyat Malaysia – adalah mengarut dan hanya bersifat populis, sekarang bagaimana pula dengan tindakan Najib ini? Bukankah ini juga ingin meraih populariti semata-mata?
Hakikatnya, kaedah ini dilaksanakan dalam suasana menjelang pilihan raya. Soalnya, mengapa tahun-tahun sebelum ini, tidak dilaksanakan kaedah ini? Nampak sangat nak populariti.
Dan sebagai perbandingan, Buku Jingga dilancarkan selepas PRU 2008. Dari aspek ini sahaja sudah jelas menunjukkan keikhlasan PR dalam membentuk dasar yang baik buat rakyat Malaysia.
PR tidak menunggu waktu pilihan raya untuk menawarkan dasar yang lebih baik kepada rakyat Malaysia. Sebaik saja Pakatan Rakyat Berjaya dibentuk, terus sahaja Buku Jingga dilancarkan, tanpa rasa takut dan bimbang ia akan dikritik, dikeji dan difitnah oleh BN.
Kalau Najib jujur, tunaikan saja tuntutan rakyat
Jika benarlah Najib mahu mendengar saranan rakyat, laksanakanlah 8 tuntutan Bersih, laksanakanlah reformasi perkhidmatan polis, tutuplah kem tahanan tanpa bicara ISA di Kamunting serta bebaskan tahanan atau bicarakan mereka di mahkamah terbuka, hapuskan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak untuk bebaskan media, tutup loji Lynas di Pahang dan mansuhkan tol yang membebankan rakyat.
Jika janji-janji ini pun tidak mampu dilaksanakan, adakah rakyat masih ingin menaruh harapan bahawa segala saranan mereka dalam belanjawan 2013 ini nanti sanggup dilaksanakan oleh Najib dan BN?
Jangan sekadar jual tiket perlawanan bolasepak dengan harga RM10 atau buka kedai kain 1Malaysia atau bagi baucar tayar teksi. Itu semua bunyinya seperti rasuah atau gula-gula politik, menghina akal rakyat Malaysia.
Ahli-ahli UMNO pun jadi mangsa pemimpin sendiri
Pemimpin BN, khususnya UMNO mungkin memang mudah lupa atau buat-buat lupa, tetapi ahli-ahli UMNO yang lain tidaklah seperti pemimpin elit mereka. Ramai ahli UMNO yang ikhlas dalam perjuangan pasti dapat menilai kejujuran BN dan Najib dalam mengotakan janji-janji mereka.
Mereka juga sedar bahawa salah guna kuasa dan rasuah pemimpin atasan turut memberi kesan kepada ekonomi keluarga. Mangsa kerakusan para pemimpin UMNO dan BN bukan hanya di kalangan penyokong Pakatan tetapi juga semua rakyat Malaysia termasuk ahli UMNO.
Penuhi saja tuntutan rakyat, barulah boleh kata “janji ditepati”
Berbalik kepada tuntutan rakyat, belanjawan 2013 perlu:
* Menghapuskan sama sekali amalan pemberian permit teksi kepada syarikat kroni, sebaliknya diberi terus kepada setiap pemandu teksi yang layak;
* Menurunkan harga minyak RON 95 (yang digunakan oleh semua rakyat Malaysia) kepada RM1, yang akan membolehkan Najib melancarkan kempen minyak petrol RM1 Malaysia (atau lebih baik lagi, tambah subsidi yang lebih adil kerana minyak adalah keperluan semua rakyat);
* Menutup kem Kamunting dan menghentikan dana operasi kem tersebut yang menjadi peringatan kepada kita semua tentang salah guna kuasa kerajaan BN dan Perikatan sebelumnya; dan
* Menghapuskan Akta Hasutan tanpa perlu apa-apa undang-undang menggantikannya. Jika Akta Keharmonian Nasional mahu menggantikannya, konon untuk membenarkan rakyat mengkritik kerajaan, perlukah ada undang-undang Akta Berjalan Kaki untuk rakyat berjalan kaki ke mana sahaja atau Akta Duduk di Rumah bagi rakyat mendiami rumah sendiri?
Tetapi kita tahu, Najib tidak akan mampu menunaikan semua permintaan tersebut kerana jika dia tunaikan, pastilah UMNO dan dirinya akan tersungkur dalam pilihan raya yang akan datang kerana sumber kewangan kroninya akan hilang.
Tapi jika berlaku sesuatu yang ajaib, yakni Najib berani memenuhi semua tuntutan rakyat, maka walau pun UMNO bakal jatuh tergolek, Najib akan dikenang buat selama-lamanya sebagai pemimpin yang berani menegakkan kebenaran walau pun terpaksa berkorban.
Namun semua itu hanyalah mimpi ngeri di siang hari. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan