Rabu, 4 Julai 2012

Jangan politikkan isu pendidikan percuma – Mahasiswa

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengecam pemberian kad diskaun kepada pelajar dan menyifatkan ia sebagai gula-gula politik Umno untuk memancing undi golongan muda.

Mewakili suara mahasiswa, Pengerusinya, Safwan Anang menegaskan, mereka menolak tawaran itu tetapi menekankan isu pendidikan percuma yang dipandang enteng kerajaan.

“Kami menolak pengumuman seperti itu dan tetap dengan tuntutan pendidikan percuma yang memang sepatutnya disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin kononnya 1.5 juta mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) seluruh negara akan mendapat manfaat dari pelancaran Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M).

Safwan berkata, pemberian kad diskaun itu hanya bertujuan menarik sokongan anak muda ketika mereka tahu mahasiswa kini tidak boleh diperalatkan untuk kepentingan politik Umno BN.

“Itu hanyalah agenda Umno untuk mengumpan anak muda terutama golongan mahasiswa, percayalah kami tidak akan terpedaya,” tegasnya.

Tiada ulasan: