Isnin, 30 Julai 2012

Isu Lajim: Umno Sabah serah kepada pusat

Wartawan Sinar Harian

Musa Aman
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman 
 
 
KOTA KINABALU - Umno Sabah akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan kedudukan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai anggota Umno selepas beliau mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti dan kerajaan di sini, semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, parti itu menyedari bahawa Lajim tidak lagi bersama-sama dalam perjuangan Umno dan BN.

"Jadi, kita serahkan kedudukan beliau kepada pucuk pimpinan Umno dan BN," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di Menara Usia 1Borneo, dekat sini hari ini.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri diminta mengulas tindakan Lajim meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta merta.

Bagaimanapun, ketika mengumumkan perkara itu, Lajim dipetik sebagai berkata bahawa beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno.

Musa menekankan bahawa apa juga masalah dalam BN dan Umno, ia boleh dibincang dan diselesaikan secara bersama dalam semangat BN.

“Saya sering mengingatkan kepada semua kepimpinan bahawa dalam perjuangan kita ini, perjuangan parti adalah penting dan keihklasan kita kepada parti dan pemimpin itu penting dan bukan peribadi kita," katanya.

Katanya, Umno akan terus bekerjasama dengan parti komponen BN yang lain untuk bersiap siaga memastikan persediaan rapi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Memang lumrah dalam mana-mana gabungan parti politik atau dalam parti memang ada perbezaan pendapat mengenai sesuatu perkara.

"Tetapi jika benar-benar ikhlas dan sanggup bertolak ansur, apa juga masalah boleh kita atasi. Suka saya tekankan bahawa ini bukanlah perjuangan individu tertentu, apa yang penting adalah kesetiaan kita kepada perjuangan parti," katanya.

Musa berkata, bermacam-macam tuduhan telah dibuat menerusi media.

Namun sebagai pemimpin Umno dan BN Sabah, katanya, "saya sentiasa memberikan sokongan kepada beliau (Lajim) sama seperti yang saya berikan kepada semua wakil rakyat Umno dan BN".

Beliau berkata, ini termasuk memberikan sokongan dan bantuan kepada banyak program dan aktiviti beliau.

"Mungkin beliau mempunyai agenda tersendiri...apapun sebagai sahabat saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau," katanya.

Ditanya mengenai tindakan timbalan presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Bumburing meninggalkan BN, Musa berkata: “Perkara ini bukan baru, perkara ini sudah lama kita ketahui tapi baru hari ini beliau buat keputusan...terpulang kepada parti mereka”.

“Semua orang bebas membuat keputusan, yang penting saya katakan, kita mesti ikhlas dalam perjuangan kita. Ini yang penting. Umno dan BN sentiasa bekerjasama, kita akan terus pastikan program dan projek yang kita laksanakan dapat diteruskan untuk rakyat," katanya.

Musa berkata, sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas berikutan tindakan Lajim dan Bumburing, dan menegaskan bahawa tidak ada krisis dalam BN Sabah. - Bernama

5 ulasan:

Paquin berkata...

Jangan risau, Najib tahu apa yang patut dilakukannya.

Paquin berkata...

Kita tunggu dan lihat sajalah nanti. Semoga semuanya berjalan lancar.

mantera berkata...

Lajim dah berniat nk tinggalkan UMNO, uruslah dia ni baik2.

Unknown berkata...

Itu satu tindakkan dan keputusan yang baik. Biarkan kerajaan pusat yang menentukan mengenai isu Datuk Lajim ini.

Tanpa Nama berkata...

tapi yang menyedihkan lagi kepada Datuk Lajim adalah yang mana kaum bisaya di kawasan tersebut berkata akan terus menyokong BN dan tidak akan mengikut jejak Lajim