Selasa, 3 Julai 2012

Ijazah palsu: Hanya seorang bekas pelajar USM terlibat

MOHD IDROS MOHD ALI

Ijazah palsu: Hanya seorang bekas pelajar USM terlibat
Omar menunjukkan contoh ijazah USM yang mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi .
 
 
GEORGETOWN - Hanya seorang bekas penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) didapati terlibat dalam kegiatan pemalsuan sijil akademik institsui pengajian tinggi itu.

Naib Canselor USM, Datuk Omar Osman berkata, bekas penuntut itu kini ditahan reman oleh polis untuk membantu siasatan manakala dua rakannya bukan penuntut mereka.

Sehubungan itu katanya, kegiatan itu tidak sama sekali akan menjejaskan kredibiliti USM kerana ia  mempunyai ciri-ciri keselamatan yang ketat dan sukar "ditembusi" oleh mana-mana pihak.

“Pelajar yang menamatkan pengajian dan mendapat ijazah akan direkod dan sijil mereka hanya ditandatangani oleh naib canselor dan pendaftar yang muingkin berubah dari semasa ke semasa.

“Kita merekodkan semua maklumat itu dalam buku warta konvokesyen graduan yang disimpan di bilik kebal dan hanya boleh diakses oleh pegawai tertentu sahaja,” kata beliau pada sidang media di sini sebentar tadi.

Dua wanita dan seorang lelaki ditahan polis ketika berada di sebuah rumah di Kampar, Perak tiga hari lalu kerana dipercayai terlibat dengan sindiket pemalsuan sijil akademik universiti berkenaan.

Polis turut merampas beberapa peralatan komputer dipercayai digunakan bagi menghasilkan sijil palsu itu yang dijual kepada pihak ketiga dengan harga tertentu.

Siasatan awal mendapati antara sijil yang dikeluarkan mereka adalah sijil diploma, sijil ijazah sarjana dan sijil ijazah sarjana muda.

Omar berkata, USM merekodkan semua maklumat itu dalam buku warta khas setiap konvokesyen graduan yang disimpan di bilik kebal dan hanya boleh diakses oleh pegawai tertentu sahaja.

Menurutnya, USM mempunyai prosedur ketat dalam hal pengeluaran dan pengesahan ijazah dan ia terus dipantau untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

"Sebagai sebuah universiti yang mementingkan integriti, saya memandang serius dan prihatin  terhadap aktiviti tidak bermoral seperti ini.

“Tidak ada tolak ansur, apatah lagi perkara yang boleh menjejaskan nama baik universiti walaupun kita menyedari kemungkinan mereka berbuat demikian adalah kerana yakin ijazah USM mempunyai nilai tertentu,”  katanya.

Turut hadir Pemangku Pendaftar, Siti Zubaidah A Hamid; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Timur Laut, Deputi Suprintendan Zuhairi Hamzah dan Timbalan  Penasihat Undang-undang Kanan USM, Khairul Anuar Che Azmi.

Tiada ulasan: