Editor Buletin
Dewan
Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Kemelah, Johor dari UMNO Datuk Ayub Rahmat untuk menjadikan Johor
sebagai sebuah negeri pertama yang melaksanakan hukum hudud membuktikan
bahawa perjuangan PAS selama ini terbukti benar.
Menurut Ketua Penerangannya Ustaz Riduan Mohd Noor, DPPM melihat
cadangan Datuk Ayub Rahmat ini adalah cadangan yang baik dan wajar
disahut oleh semua umat Islam.
“Seharusnya Datuk Ayub sedari
bahawa cadangan beliau adalah usaha perjuangan PAS sejak awal
penubuhannya. Mungkin baru hari ini beliau faham bahawa perjuangan
menegakkan syariat Islam adalah kewajipan setiap pemerintahan Islam
untuk laksanakannya,
“dan ia bukan isu politik kepartian
semata-mata. Mungkin juga beliau baru menyedari bahawa dengan usaha
inilah PAS semakin diterima baik oleh segenap masyarakat tanpa mengira
kaum sehingga bukan Islam turut menerima dan menghormati pendirian
PAS,”katanya, dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada pihak media
Beliau
berkata, inilah masanya UMNO pula membuktikan perjuangan Islam mengikut
syariat Islam yang sebenar, sekiranya Umno mendakwa selama ini bahawa
PAS berjuang menegakkan syariat Islam secara ‘versi PAS’.
Katanya, inilah masa yang sesuai untuk UMNO pula membuktikan perjuangan Islam mengikut syariat Islam yang sebenar.
“Elok
juga UMNO tunjukkan bagaimana syariat Islam mengikut Al Qur’an dan
Sunnah Rasulullah SAW supaya PAS boleh jadikan panduan kerana PAS
sentiasa bersedia menerima teguran jika ada kaedah sebenar
pelaksanaannya tidak tepat sebagaimana dakwaan UMNO,”katanya lagi
Sehubungan
itu, beliau berkata kenyataan Datuk Ayub itu juga membuktikan dakwah
PAS sudah sampai sehingga ke jantung hati, ahli dan pemimpin UMNO.
Beliau
berkata, apabila pemimpin UMNO juga sudah mula bercakap soal hudud,
terbukti, perjuangan mendaulatkan Islam yang diperjuangkan oleh PAS
bukan omongan kosong dan sia-sia.
Bahkan, beliau yakin syariat
Islam pasti akan diberi kemenangan oleh Allah SWT meskipun pelbagai
halangan yang telah dan sedang menimpa.
Justeru itu, kata Ustaz
Riduan, DPPM bergembira kerana Datuk Ayub sedar bahawa perjuangan
menegakkan Islam sedang meniti kejayaan di mana-mana negara termasuk di
negara ini, dan DPPM bersedia memberikan kerjasama sekiranya benar
cadangan ini untuk dilaksanakan.
“Adalah diharapkan ucapan Datuk
Ayub ini adalah lahir dari nuraninya sendiri yang ikhlas dan insaf
dengan melihat syariat Islam sebagai penyelesai masalah kebejatan sosial
serta jenayah yang semakin berleluasa di negara ini.
“Ucapan
ini diharapkan bukan bermotif politik sempit semata-mata yang merasakan
UMNO sudah kehilangan sokongan rakyat, justeru terpaksa beralih kepada
isu tertentu bagi meraih simpati orang Melayu dan umat Islam di negara
ini,”katanya.
Soalnya, tambah beliau, adakah cadangan ini pula
akan disambut baik oleh kepemimpinan tertinggi UMNO atau hanya sekadar
satu lagi ilusi yang akhirnya akan dibakul sampahkan kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan