Subky Latif, |
SAYUGIA masyarakat seluruhnya menyokong dan memberi kepercayaan kepada Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria di Kota Bharu tentang mahkamah kita adalah bebas dari campur tangan eksekutif, renggang dari orang-orang politik dan golongan peniaga.
Kira-kira seperti yang dikatakannya, itulah sikap dan telah diamalkannya sejak menjadi hakim tertinggi sejak September lalu.
Apa yang beliau kata itu adalah betul dan itulah sifat yang patut ada pada mahkamah kita. Mahkamah dan hakim bukan saja mesti bebas, tetapi ia mesti dilihat bebas dan berusaha menjadi bebas dan meningkatkan taraf kebebasan itu setiap masa, dari semasa ke semasa.
Apa yang mendorong Tun Ariffin membuat penegasan yang terpuji itu tidak perlu dipersoal. Apa yang dikehendaki ialah mahkamah kita adalah tidak sekadar bebas dan ia juga mesti adil.
Betapa keadilan itu sesungguhnya mulia dapat dilihat dari beberapa contoh dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, kiranya puterinya mencuri, nescaya baginda akan potong tangannya.
Saidina Umar al-Khatab menjatuhkan hukuman rejam terhadap anaknya atas kesalahan minum arak. Dan beliau juga membebaskan orang lapar yang miskin yang diadukan mencuri makanan si pengadu kaya yang berjiran dengannya, sebaliknya beliau memberi amaran kepada pengadu, jika berulang aduan yang serupa, bukan tangan pencuri lapar itu yang dipotong, tetapi tangan pengadu itu yang dipotong.
Seorang hakim telah menolak tuntutan Amirul Mukminin Ali bin Abu Talib tentang baju besinya yang dicuri oleh seorang Yahudi. Ia ditolak kerana Amirul Mukminin itu gagal membuktikan baju besi itu miliknya.
Melihat betapa bebasnya hakim brhadapan dengan aduan ketua negara dan betapa adilnya undang-undang Islam, maka Yahudi itu mengaku bahawa baju besi yang dituntut oleh Saidina Ali adalah dicurinya dari beliau dan dia menerima Islam justeru keadilannya.
Sekalipun Ketua Hakim Tun Ariffin menjamin kebebasan yang dibayangkannya belum terjejas dan berazam supaya terus tidak terjejas di bawahnya, maka beliau dipercayai berdepan dengan cabaran yang besar tentang keyakinan masyarakat telah alam kejaksaan negara sekurang-kurangnya tiga dasawarsa yang terakhir.
Selain daripada peristewa hitam sekumpulan hakim didahului Ketua Hakim Negara (KHN) ketika itu, Tun Salleh Abbas yang ditribunal dan dipecat, banyak kejadian yang menyebabkan orang ramai sangsi akan sistem kebebasan mahkamah kita.
Terlalu banyak cerita mempersoal dan melibatkan imej beberapa KHN selepas itu, dikuti pula oleh cara mahkamah mengendalikan antara Speaker beberapa DUN dengan SPR menyebabkan orang tertanya-tanya tentang sejauh mana indahnya sistem kehakiman kita.
Kejaksaan negara gagal menyelesaikan isu penyiasat bebas mengenai Altantuya yang hilang setelah memfailkan saman bersumpah dan sehari kemudian membatalkannya. Hingga ini dia tidak ditemui. Adakah misteri itu dia tidak dicari atau tidak selesainya kes itu elok pada kejaksaan dan negara?
Mungkin kesangsian orang ramai itu justeru persepsi silap masing-masing terhadap hakim dan mahkamahnya, tetapi tidaklah bijak bagi mana-mana pihak khususnya jabatan kejaksaan tidak sensitif terhadap persepsi umum itu.
Institusi kehakiman wajar meremehkan para penegurnya di kalangan rakyat adalah gara-gara kerakusan sang politkus dan golongan desperado.
Kiranya kesangsian kepada sistem kehakiman itu gara-gara persepsi salah orang-orang yang tidak tahu cara hakim dan mahkamah bekerja, ia tidak cukup bagi dijadikan hujah bahawa rakyat salah beranggap serong terhadap kehakiman.
Mahkamahlah yang perlu mengambil langkah dan tindakan bagi meyakinkan wibawa hakim dan mahkamah kita. Orang luar tidak jamin dan bela imej guru itu elok kiranya guru-guru tidak mengambil langkah bagaimana guru harus berterusan dihormati.
Suara Tun Ariffin di Kota Bharu itu adalah mencerminkan rintihannya tentang apa orang kata tentang badan kehakiman, dan beliau seperti menyampaikan mesej kepada pemegang institusi itu betapa para hakimlah yang dapat menentukan ia bebas, tidak diganggu gugat oleh pihak luar jika ia mahu dihormati.
Cabaran Tun Ariffin adalah besar dan berat. Selepas Tun Salleh Abbas belum ada hakim yang sebebasnya. Tun Ariffin perlu diberi sokongan bagi mengembalikan zaman kebebasan gemilang alam kehakiman. Tun boleh pulihkan imej itu tanpa kerajaan digantikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan