Ahad, 1 Julai 2012

Bersih 3.0: Malaysia respons surat Straits Times Singapura

SINAR HARIAN
 
SINGAPURA - Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura telah memberi respons terhadap surat yang tersiar dalam akhbar The Straits Times Khamis lepas berhubung dakwaan kehadiran tiga diplomat republik ini pada perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada 28 April.

Dalam jawapan itu,, Kaunselor (Politik) Nik Ady Arman memulakan tulisannya dengan menegaskan tentang pentingnya mengenal pasti perbezaan antara tindakan yang diambil Kerajaan Malaysia dan tindakan NGO serta kumpulan tertentu yang berkepentingan.

Kata beliau, walaupun kerajaan Malaysia telah meminta Pesuruhjaya Tinggi Singapura menangani isu ini secara diplomatik, tetapi tidaklah memeranjatkan apabila NGO dan kumpulan lain yang berkepentingan, menunjukkan reaksi masing-masing berhubung isu berkenaan berdasarkan sentimen yang tercetus daripadanya.

Seperti yang diduga, begitu jugalah yang dilakukan para pembaca dalam surat mereka kepada The Straits Times.

Kedua, kata Nik Ady, perkara yang perlu juga diambil kira ialah tentang perbezaan kecil, tetapi tidak kurang pentingnya, antara kehadiran diplomat pada perhimpunan itu dan perhimpunan haram.

Nik Ady berkata, sebagai negara demokrasi, Malaysia tidak pernah mengehadkan atau menghalang sesiapa daripada menyertai mana-mana perhimpunan yang sah di sisi undang-undang, tetapi beliau menegaskan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu perhimpunan haram.

"Penyertaan warga asing dalam perhimpunan haram tempatan bukan saja boleh mencetuskan spekulasi tentang motif pembabitan mereka, tetapi kerajaan tuan rumah juga akan dipertanggungjawabkan sekiranya diplomat terbabit menjadi mangsa tindakan ganas dalam demonstrasi itu," katanya.

Nik Ady berkata, atas alasan inilah diplomat Malaysia sentiasa diperingatkan agar tidak menyertai kegiatan haram ketika berkhidmat di luar negara.

Ketiga, kata beliau, Malaysia menghargai keputusan kerajaan Singapura menolak permohonan kumpulan tertentu yang menyokong Bersih 3.0 di Singapura, yang jelas beliau, merupakan suatu tanda persahabatan, yang astinya turut memberi kebaikan besar kepada Singapura sendiri.

"Keempat, adalah tidak benar wujudnya pemikiran bahawa rakyat Malaysia masih menganggap Singapura sebagai 'adik'. Ramai rakyat Malaysia dilahirkan selepas atau mempunyai pengalaman yang amat sedikit tentang pemisahan (antara Malaysia dan Singapura pada 1965).

Bagi mereka, kata Nik Ady, Singapura adalah sebuah negara yang berasingan dan bebas daripada Malaysia.

Beliau seterusnya berkata, kejayaan jiran terdekatnya adalah penting bagi Malaysia, kerana "kami amat sedar bahawa kemakmuran hanya boleh dikecapi apabila jiran kami juga berjaya".

Nik Ady berkata, perdana menteri kedua-dua negara berpandangan jauh apabila mereka tidak mengungkit sejarah lampau dan ini terbukti melalui kemajuan yang dicapai dalam kerjasama dua hala yang begitu memberangsangkan.

Pada 22 Jun, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Ong Keng Yong untuk menyatakan kepada beliau bahawa "penyertaan secara langsung diplomat berkenaan dalam perhimpunan haram itu adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan".

Suruhanjaya Tinggi Singapura menafikan diplomat republik ini menyertai perhimpunan itu dan menjelaskan bahawa mereka hadir sebagai pemerhati, yang merupakan sebahagian daripada "tugas diplomatik mereka". - Bernama

Tiada ulasan: