Jumaat, 27 Julai 2012

Bersih 3.0: Kerajaan BN bertanggungjawab atas kecederaan mata Asrul Wadi

Roketkini.com




KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu  bertanggungjawab terhadap keganasan perhimpunan aman BERSIH 3.0 yang telah mengakibatkan Asrul Wadi Ahmad, 27, buta sebelah mata akibat ditembak dengan gas pemedih mata polis.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan agar memberi pampasan seumur hidup kepada Asrul yang juga seorang jurutera mekanikal.

“Sebelum insiden tersebut, penglihatan Asrul sempurna 20/20 tetapi kini tahap penglihatan mata kanannya hanya 15 peratus. Akibatnya, beliau mungkin tidak boleh diambil bekerja sebagai jurutera mekanikal walaupun mendapat ijazah dalam kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Tun Hussein Onn dalam bulan Februari,” katanya.

Menurutnya, Asrul telah berunding dengan dua hospital swasta serta tiga hospital kerajaan ttapi   malangnya diberitahu bahawa kecederaan yang dialami pada mata kanannya adalah serius malah penglihatannya tidak dapat dipulihkan semula melalui prosedur perubatan.

“Mata kanan Asrul telah diberi sembilan jahitan dan dua lagi bagi kecederaan yang dialami dibawah hidungnya,” jelasnya.

Ahli Parlimen Ipoh Timor itu berkata, mengimbas kembali kejadian pahit yang berlaku Asrul bersama ayah dan adik lelakinya melarikan daripada semburan air di Jalan Tun Perak menuju ke Masjid Jamek untuk berlindung.

“Apabila beliau keluar daripada Masjid Jamek dalam keadaan berpusu-pusu dan terpisah dari adik dan ayahnya ketika itulah, beliau terkena tembakan kanister dan jatuh,” katanya.

Beliau yang memetik laporan media online berkata, kanister gas pemedih mata tersebut telah diarahkan dan ditembak terus kepadanya, kemudian orang ramai yang berada di sekitar membawa beliau
mendapatkan bantuan kecemasan paramedik yang datang dengan ambulans kemudian membawanya ke hospital.

Kit Siang berkata, sekiranya Hishammuddin tidak bersedia untuk mengambil inisiatif menggesa kerajaan untuk memberi pampasan kepada Asrul, satu kempen di seluruh negara harus dilancarkan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: