Khamis, 26 Julai 2012

Bekas MD Ho Hup lapor polis, gesa AG disiasat

 
Hafiz Yatim


 
Bekas pengarah urusan Ho Hup Bhd, Datuk Low Tuck Choy membuat laporan polis yang mempersoalkan mengapa siasatan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan rasuah masih belum dimulakan ke atas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Low mendakwa bahawa invois Ho Hup yang tertera nama Abdul Gani seperti yang dimuatkan di dalam satu blog pada tahun lalu merupakan dokumen asli.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan timbalan menteri Datuk Liew Vui Kong di parlimen pada bulan lalu bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada akan memulakan siasatan.

Invoise berkenaan menyatakan bahawa sejumlah RM18,000 dibayar oleh Ho Hup selepas kerja-kerja elektrikal dijalankan ke atas satu banglo di Seremban.

Low, 54, dalam laporan polis bertarikh 20 Julai yang dilihat Malaysiakini, mendakwa belum ada pihak yang mengambil kenyataannya selepas laporan yang dibuatnya berhubung hal ehwal syarikat berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dua tahun lalu.

Low juga berkata beliau turut membuat aduan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga dua tahun lalu.

Beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat Abdul Gani “tanpa gentar atau pilih kasih".

“Saya merujuk kepada kenyataan Liew di parlimen pada 26 Jun, di mana beliau menyatakan bahawa SPRM masih sedang menimbangkan kemungkinan untuk menyiasat dakwaan bahawa Abdul Gani telah menerima rasuah daripada satu firma pembinaan.

“Saya percaya firma pembinaan yang dirujuk oleh Liew itu ialah Ho Hup. Berdasarkan kenyataan Liew, saya berpandangan bahawa SPRM sebenarnya masih belum memulakan siasatan ke atas Abdul Gani tetap hanya mempertimbangkan untuk berbuat demikian.

"Pemahaman saya ialah, SPRM masih belum membuka fail siasatan ke atas Abdul Gani," kata Low dalam laporan polisnya.

Tiada ulasan: