Sabtu, 7 Julai 2012

Babi hutan masuk bandar

Wartawan Sinar Harian

Babi hutan masuk bandar
Babi seberat 50 kilogram yang mengalami kecederaan selepas merempuh kedai cuba menyembunyikan diri dalam premis tersebut.
 
 
KUANTAN - Peniaga dan beberapa pelanggan deretan kedai di Jalan Mahkota di sini gempar berikutan kemunculan seekor babi hutan yang tersesat masuk ke kawasan itu sebelum merempuh sebuah kedai, tengah hari kelmarin.

Babi yang dianggarkan seberat 50 kilogram itu turut merosakkan kaunter pameran sebuah kedai selepas merempuh masuk premis tersebut dipercayai akibat terkejut dengan kehadiran kenderaan dan orang ramai.

Suasana kelam kabut di kawasan itu berakhir kira-kira sejam kemudian selepas haiwan tersebut ditembak mati oleh kakitangan Perhilitan di kawasan Padang MPK 1.

Seorang saksi, Koh Yen Thong, 23 berkata, ketika itu dia berada di kaki lima deretan kedai tersebut sebelum ternampak kelibat seekor babi hutan meluru dari arah Jalan Bukit Ubi.

Menurutnya, haiwan itu dipercayai panik dengan suasana lalu lintas yang sibuk lalu melintas jalan menuju ke arah bangunan kedai itu.

“Saya nampak babi itu masuk ke sebuah kedai dan terus mendekati untuk melihat kejadian seterusnya.

“Peniaga premis itu panik apabila haiwan itu bertindak liar dengan merempuh rak pameran kaca hingga pecah malah babi itu turut mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya.

Yen Thong berkata, babi hutan itu akhirnya kepenatan dan terus sembunyi di sebalik kaunter dalam keadaan cedera sehingga kelihatan ada darah menitis ke lantai.

‘Saya difahamkan pemilik premis bertindak menutup pintu dan memaklumkan kejadian kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mendapatkan bantuan sebelum dilanjutkan kepada Perhilitan,” katanya.

Dia berkata, mungkin bimbang haiwan itu terus mengamuk, pemilik kedai bertindak membuka pintu dan haiwan tersebut terus meluru keluar dan berlari menyeberangi jalan ke kawasan padang berdekatan.

“Haiwan terbabit nyaris dilanggar kereta kerana suasana jalan ketika itu agak sibuk,” katanya.

Menurutnya, haiwan tersebut kemudiannya kelihatan merayau-rayau di kawasan padang sebelum masuk ke dalam longkang untuk minum air.

“Anggota jabatan Perhilitan yang datang melepaskan tiga das tembakan ke arah haiwan itu sebelum rebah dan mati,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Khairiah Mohd Shariff ketika dihubungi berkata, pihaknya terpaksa menembak mati haiwan itu atas faktor keselamatan orang ramai.

Menurutya, haiwan yang berada dalam kecederaan dan ketakutan itu dikhuatiri akan mengamuk bila terancam dan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan haiwan itu
tidak mencederakan orang ramai.

“Bagaimanapun kita mengambil langkah perlu sebelum melakukan tembakan termasuk memastikan tiada orang ramai di kawasan tersebut,” katanya.

Khairiah berkata, pihaknya percaya babi hutan itu dari kawasan belukar sekitar yang tersesat masuk ke kawasan bandar.

“Ada kemungkinan habitatnya diganggu sehingga memaksa haiwan itu lari ke kawasan lain,” katanya.

Tiada ulasan: