Khamis, 12 April 2012

Wang kertas siri baru mula diedar 16 Julai: Bank Negara

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa wang kertas Malaysia siri baru akan berada dalam edaran mulai 16 Julai.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata wang kertas siri baru itu yang bertemakan 'Keunikan Malaysia' terdiri daripada denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100.

"Wang kertas RM50 dalam siri ini telahpun berada dalam edaran sejak bulan Disember 2007 dan akan terus berada dalam edaran," kata BNM.

Bank Negara berkata dalam membuat persediaan bagi edaran wang kertas siri baru ini, ia telah bekerjasama rapat dengan institusi kewangan, sektor perniagaan, vendor pengendali mesin wang tunai dan pihak berkuasa tempatan sejak Disember tahun lepas, untuk memudahkan peralihan yang lancar.

"Beberapa sesi perbincangan dan interaksi dengan pihak berkepentingan berkenaan telah diadakan bagi memastikan ketersediaan sistem dan proses untuk edaran wang kertas baru," kata bank pusat itu.

Bank Negara menggesa vendor yang mengendalikan mesin wang tunai memastikan mesin berkenaan boleh menerima wang kertas siri baru dan lama untuk kemudahan orang ramai menjelang tarikh berkenaan.- BERNAMA

Tiada ulasan: